2017-aprilia-shiver-900-06-850x642-bm

Aprilia Shiver 750 boleh dikatakan agak popular di Malaysia kerana harga yang ditawarkan agak menarik hasil daripada aktiviti pemasangan tempatan (CKD) yang dilakukan dan memberikan eksklusiviti sebuah motosikal jenama Itali. Kini, Aprilia sudah memperkenalkan penggantinya – Shiver 900 yang akan mula dipasarkan pada tahun 2017.

Enjin dua silinder V berkapasiti 750 cc sebelum ini dibesarkan menjadi 896 cc dan kini mampu menghasilkan 95 hp pada 8,750 rpm dan tork 89.4 Nm pada 6,600 rpm. Walaupun jumlah ini tidak banyak berbeza berbanding model sebelum ini, Aprilia mendakwa ia dapat memberikan tork yang lebih tinggi pada tahap rpm pertengahan dan dapat mematuhi tahap emisi Euro 4. Penyumbang lainnya adalah ekzos rekaan baru.

Buat pertama kalinya, Shiver 900 akan dilengkapkan dengan sistem Traction Control tiga tahap dan ia boleh ditutup sekiranya mahu. Pada bahagian suspensi, fork Kayaba 41 mm baru dengan pelarasan lantunan dan pra beban digunakan pada bahagian hadapan dan ini membantu mengurangkan berat Shiver sebanyak 0.5 kg. Di bahagian belakang pula, ia menggunakan penyerap monoshock dengan pelarasan pra beban sahaja.

Rim yang digunakan pada Shiver 900 juga adalah baru dan ia lebih ringan sebanyak 2 kg berbanding rim sebelum ini. Tugas membrek pula dijalankan oleh angkup empat piston dan cakera 320 mm di hadapan, dan angkup satu piston dengan cakera 240 mm di belakang. Sistem ABS dua rangkaian didatangkan secara standard.

Untuk bahagian badan, tangki minyak, panel tepi, lampu belakang dan penghadang lumpur semuanya adalah baru dan panel paparan LCD TFT 4.3 inci daripada model RSV4 turut dipasang pada Shiver 900. Meskipun masih belum ada harga, Aprilia memberitahu Shiver 900 dijangka muncul di pasaran pertamanya pada bulan April, 2017. Di Malaysia, Aprilia Shiver 750 CKD dijual pada harga RM45,888.