Alfa Romeo mungkin kembali ke pentas Formula 1

Alfa Romeo mungkin kembali ke pentas Formula 1

Untuk memberikan lebih peluang pemandu-pemandu dari Itali beraksi di pentas Formula 1, projek Formula 1 Alfa Romeo akan dimulakan semula, kata Presiden Ferrari Sergio Marchionne.

Tiada langsung pemandu Formula dari Itali bertarung dalam Formula 1 buat masa ini, sejak penampilan kali terakhir dua pelumba dari negara berkenaan iaitu Jarno Trulli dan Vitantonio Liuzzi di Grand Prix Brazil 2011.

Kali terakhir Ferrari menggunakan khidmat pemandu dari negara asalnya ialah pada tahun 2009, di mana Giancarlo Fisichella dipanggil untuk menggantikan tempat Felipe Massa buat sementara waktu kerana kecederaan yang dialami pemandu dari Brazil itu. Walau bagaimanapun, untuk musim 2017, Ferrari telah mengumumkan bintang GP2 Antonio Giovinazzi akan mengambil tugas sebagi pemandu ketiga pasukan tersebut.

“Alfa Romeo dalam F1 boleh dijadikan asas untuk melahirkan lebih ramai pemandu muda Itali,” kata Marchionne kepada media Itali. “Yang terbaik, Gioviazzi, kini sudah bersama dengan kami, tetapi ada ramai lagi disamping beliau, dan mereka bergelut untuk merebut tempat,” tambahnya lagi.

Idea untuk mewujudkan pasukan Formula 1 Alfa Romeo yang dibantu oleh Ferrari ini telah lama diutarakan oleh Marchionne. Walau bagaimanapun, beliau sendiri mengakui projek ini “perlu ditangguhkan dahulu” bagi memberikan ruang syarikat tersebut melengkapkan projek-projek kereta produksi yang penting.

“Sememangnya ada ruang untuk Alfa Romeo – ia merupakan projek yang perlu dijalankan dalam apa bentuk sekali pun,” kata Marchionne dan menambah perkara ini telah dibincangkan dengan Scuderia Ferrari menerusi ketua pegawai teknikal Mattia Binotto dan prinsipal pasukan Maurizio Arrivabene berkenaan kerjasama bagaimana yang boleh dilakukan antara Alfa Romeo dan Ferrari.

Alfa Romeo telah menyertai Formula 1 sejak kejohanan berkenaan mula diperkenalkan pada 1950 dan dinobatkan sebagai juara musim pertama tersebut menerusi pemandu Itali, Giuseppe Farina. Walaupun memenanginya sekali lagi pada musim 1952 bersama Juan Manuel Fangio, pasukan berkenaan terpaksa menarik diri kerana tidak menerima bantuan dari kerajaan Itali untuk membina jentera baharu untuk menggantikan jentera sedia ada yang sudahpun berumur 13 tahun.

Syarikat tersebut mula terlibat semula dalam Formula 1 dengan membekalkan enjin untuk pasukan-pasukan seperti Cooper, DeTomaso dan Brabham dari tahun 1961 hingga 1979. Tahun 1979 juga menyaksikan Alfa Romeo kembali bertanding sebagai pasukan penuh, tetapi atas prestasi yang tidak memberangsangkan, ia terpaksa menarik diri semula untuk musim 1986.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required