Pengeluar motosikal dari India, Bajaj Auto baru sahaja menunjukkan sebuah model naked baru yang dinamakan sebagai Dominar 400, dan setakat ini adalah motosikal paling berkuasa yang pernah dihasilkan oleh syarikat itu, dengan sasaran untuk menyaingi model jenama lain seperti Royal Anfield dan KTM.

Motosikal ini menggunakan enjin satu silinder 373.2 cc sama seperti yang terdapat pada KTM Duke 390, tetapi ia diberi penambah baikan dengan turut menggunakan teknologi tiga palam pencucuh tersendiri Bajaj. Ia kini boleh menghasilkan kuasa sebanyak 34.5 hp dan 35 Nm tork. Transmisi yang digunakan adalah manual enam kelajuan.

Berkenaan gaya, Dominar 400 mempunyai penampilan sama seperti motosikal konsep Pulsar CS400 yang ditunjuk pada tahun 2014, namun kini dilihat mempunyai kelebihan kelengkapan seperti fork hadapan terbalik (USD) di hadapan, monoshock di belakang dan brek cakera depan belakang yang dilengkapi ABS.

Menjadikannya lebih premium untuk motosikal di India, Dominar 400 dilengkapi dengan lampu utama LED dan panel meter LCD yang lengkap dengan informasi penting seperti kelajuan, rpm, tahap minyak, jarak, jam dan lampu ABS.

Walaupun dengan spesifikasi lebih baik, Bajaj meletakkan harga Dominar 400 pada lingkungan yang hampir dengan KTM Duke 200, iaitu 136,000 rupee (RM8,952) untuk model tanpa ABS dan 150,000 rupee (RM9,874) untuk model dengan ABS. Penghantaran motosikal ini dijangka dapat dilaksanakan pada bulan Januari 2017.