Naza Premira Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi untuk produk Piaggio, Vespa dan Aprilia di Malaysia membuka satu ruang khas untuk tiga jenama ini di dalam Naza Automall Petaling Jaya, digelar sebagai Piaggio Motoplex Concept Showroom.

Dengan langkah penyelarasan tersebut, orang ramai akan lebih mudah untuk mendekati tiga jenama dari Itali ini, di bawah satu bumbung, dan ia bukan sekadar ruang pameran, malah juga lengkap dengan bahagian servis, aksesori dan ruang istirehat.

Selain itu, Naza Premira juga berjaya meningkatkan khidmat selepas jualan, dengan kini memegang alat ganti dan aksesori berjumlah lebih RM2 juta manakala pada pengedarnya pula terdapat alat ganti berjumlah RM300,000. Selain datang terus ke Piaggio Motoplex ini untuk khidmat pembaikan dan servis, pemilik motosikal tiga jenama ini juga boleh pergi ke 24 pusat servis berdaftar lain di seluruh negara.

Setiap pusat servis ini telah menerima latihan teknikal lengkap oleh wakil Piaggio Asia Pacific di Hanoi, Vietnam dan mereka boleh menjalankan pelbagai kerja pembaikan dan analisis menggunakan peralatan canggih seperti Piaggio Advance Diagnostic System (P.A.D.S) untuk melaras kembali ECU.