Furion M1 – Motosikal konsep dengan enjin wankel rotary bersama sistem hibrid motor elektrik

Furion M1 – Motosikal konsep dengan enjin wankel rotary bersama sistem hibrid motor elektrik

Enjin Wankel Rotary – jika disebut pastinya imej kereta-kereta sport siri RX keluaran Mazda akan terlintas di kepala. Namun, enjin jenis ini sebenarnya juga pernah digunakan pada motosikal. Suzuki misalnya, pernah menghasilkan motosikal rotary yang diproduksi secara besar-besaran pada pertengahan era 70’an dahulu dengan mdel RE5. Begitu juga dengan Norton yang pernah menghasilkan model Commander dan F1 dijana enjin wankel dengan dua rotor.

Terbaharu, Furion iaitu syarikat pembina motosikal dari Perancis sedang membangunkan motosikal dengan enjin rotary digelar M1. Bukan sahaja enjin rotary yang menarik perhatian, malah M1 juga bakal menerima sistem hibrid yang akan menggabungkan penggunaan motor elektrik.

Seperti yang diketahui, enjin rotary terkenal kebolehannya menghasilkan kuasa yang besar dengan hanya memerlukan kapasiti yang kecil. Tetapi dengan undang-undang emisi yang ketat pada masa sekarang (punca utama matinya generasi kereta sport rotary Mazda untuk masa hadapan) dan juga enjin omboh konvensional yang kini mampu menghasilkan sekitar 120 hp dengan hanya 600 cc, menyebabkan enjin rotary tidak relevan untuk diketengahkan lagi.

Jadi, sesuatu perlu dilakukan Furion untuk menjadikan motosikal konsep ini berjaya. Enjin Wankel dua rotor dengan kapasiti keseluruhan 654 cc (327 cc x 2) pada M1 ini mampu menjana 125 hp pada takat 9,000 rpm dan tork maksima 105 Nm pada takat 6,000 rpm. Enjin berkenaan digabungkan bersama motor elektrik berkuasa 55 hp/100 Nm yang disuap oleh bateri lithium-sulfur, menjadikan kuasa keseluruhan dihasilkan ialah 180 hp/205 Nm.

Furion turut mendakwa motosikal ini ditimbang hanya dengan berat basah 209 kg. Enjin rotary berkenaan diletakkan pada kerangka trellis, dan apa yang menarik, ia ditempatkan pada kedudukan rendah bahagian separuh hadapan casis tersebut.

Pada bahagian hadapan, M1 diberikan ‘fork terbalik’ berdiameter 43 mm, dan boleh dilaras sepenuhnya. Manakala pada bahagian pula, ia diberikan suspensi monoshock dengan kedudukan mendatar, serta talaan preload dan rebound yang boleh dilaras. Motosikal ini diberikan tangki bahan api berkapasiti 16-liter, dan tempat duduk diletakkan pada ketinggian 810 mm.

Menurut Furion, M1 mampu ditunggang pada jarak 400 km dengan satu isian penuh tangki, yang dilihat agak jauh jika dibandingkan dengan motosikal sport biasa. Buat masa sekarang, Furion M1 masih lagi hanya wujud pada skrin, syarikat berkenaan masih mencari pelabur untuk merealisasikan projek ini.

M1 direka oleh pereka Marc Evenisse bersama juara Supermoto empat-kali Adrien Charerye. Menurut Evanisse, Furion M1 merupakan “kombinasi motif asli dengan unsur utama bunyi luar biasa, dihasilkan dari dua rotor di dalam enjinnya.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required