Keluarga model Aston Martin Vantage Zagato akan bertambah apabila pengeluarnya mengumumkan dua lagi model iaitu Speedster dan Shooting Brake, yang akan menyertai model coupé dan roadster Volante sedia ada. Semasa pengumuman ini dibuat di Monterey Car Week di California, model Volante telah membuat penampilan sulungnya.

Kenapa perlu ada Speedster apabila sudah ada Volante? Pertamanya, Speedster langsung tidak mempunyai bumbung, menunjukkan ia hanya boleh digunakan apabila cuaca cerah dan bagus. Di bahagian belakangnya, terdapat dua gelembung yang membantu aliran udara dari hadapan dan ini adalah satu rekaan unik Aston Martin sendiri.

Model Shooting Brake sebenarnya lebih menarik, tetapi ia masih belum ditunjukkan secara penuh, kecuali lukisan digital bahagian tepinya yang menunjukkan badan rendah dan panjang, serta bumbung kaca penuh sampai ke belakang, dan diakhiri dengan cermin belakang yang condong. Bumbung ini juga mempunyai rekaan dua gelembung manakala ruang simpanannya dipersiap dengan kemasan yang mewah. Ia masih adalah model dua tempat duduk.

Selain daripada itu, dua kereta ini adalah sama seperti model Vanquish Zagato yang lain, dengan rekaan yang termasuk gril hadapan besar bersama motif ‘Z’ tiga dimensi, lekuk tepi pintu yang dalam serta lampu belakang LED yang mempunyai pencahayaan seperti bilah pisau. Di dalam, ia menampilkan kemasan gentian karbon herringbone, tombol kawalan gangsa anodised, sulaman motif ‘Z’ dan pilihan balutan kulit fully-aniline.

Seperti juga model yang lain, model Speedster dan Shooting Brake ini dikuasakan oleh enjin AM11 V12 5.9 liter NA daripada Vanquish S, menghasilkan sehingga 600 PS. Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan ZF yang dipanggil Touchtronic III.

Speedster adalah model paling eksklusif yang akan dijual kepada umum, dengan hanya 28 buah sahaja yang akan dibina – bagi model coupé, Volante dan Shooting Brake, 99 unit ditawarkan. Penghantaran dua varian baru ini akan bermula pada tahun 2018, menjadikan jumlah pengeluaran keseluruhannya sebanyak 325 unit.

GALERI: Aston Martin Vanquish Zagato Speedster


GALERI: Aston Martin Vanquish Zagato Volante