Jaguar Land Rover Malaysia telah mula mengambil tempahan untuk model permulaan F-Pace, yang dilengkapi dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder Ingenium baharu. SUV mewah ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada suku pertama (Q1) tahun 2018 dan bakal diposisikan di bawah varian 3.0L supercharged V6 (RM599k).

Penjana kuasa baharu ini mampu menghamburkan output sehingga 250 PS dari 1,200 rpm dan tork 365 Nm iaitu 90 PS dan 85 Nm kurang daripada enjin V6. Ia juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.8 saat. Enjin ini diperbuat daripada struktur Aluminium, bagi menggantikan penjana kuasa GTDI RWD, yang digunakan di pasaran China. Kelebihan enjin ini berbanding GTDI ialah ia turut mampu mempertingkatkan prestasi termasuk meningkatkan penjimatan bahan api sebanyak 15%, 4.1 kg lebih ringan dan juga NVH yang turut diberi penambahbaikan.

SUV lima-tempat duduk ini juga turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan 8HP45 (versi V6 menerima 8HP70) yang lebih ringan dan kompak, yang menyalurkan kuasa ke semua rodanya. Ia juga menampilkan pendulum damper di dalam torque converter yang lebih efektif untuk menyerap getaran frekuensi rendah serta membolehkan enjin dipacu dalam kelajuan rendah tanpa menjejaskan kehalusannya.

Buat masa ini, harga dan spesifikasi yang lebih terperinci masih belum didedahkan. Namun bagi yang berminat, boleh mendaftar DI SINI. Anda juga boleh menyemak elemen dan spesifikasi bagi varian F-Pace yang sudah berada di Malaysia menerusi CarBase.my.

GALERI: Jaguar F-Pace R Sport