TUNGGANG UJI: Moto Guzzi V9 Roamer ada karekter unik, beri kepuasan dengan tunggangan gaya santai

TUNGGANG UJI: Moto Guzzi V9 Roamer ada karekter unik, beri kepuasan dengan tunggangan gaya santai

Moto Guzzi adalah sebuah syarikat pengeluar motosikal dari Itali yang penuh dengan sejarah. Ia sudah ditubuhkan sejak tahun 1921 lagi, dan banyak menempa nama dalam dunia motosikal termasuk perlumbaan. Sehingga kini, antara perkara yang sudah menjadi sinonim dengan motosikalnya adalah enjin V-twin 90°, dan ia diteruskan sehinggalah model terbarunya iaitu V9.

Versi yang kami uji ini adalah V9 Roamer, yang dijual pada harga RM73,900, sementara satu lagi versi bagi model ini adalah V9 Bobber (RM74,900). Keduanya menjadi antara model terawal yang tiba di Malaysia selepas Moto Guzzi membuat kemunculan semula melalui syarikat Didi Resources Sdn Bhd, sementara model lain yang turut diperkenalkan adalah V7 III Stone (RM66,900) dan V7 III Racer (RM81,900). Semua harga ini adalah termasuk GST, tanpa insurans.

Semua ini adalah motosikal yang mempunyai penampilan klasik, tetapi V9 Roamer mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia dibangunkan dengan tetapan untuk tunggangan yang lebih santai dengan pemegang yang mudah dicapai serta tempat letak kaki yang sedikit ke hadapan.

Rekaan tangki model V9 ini juga lebih unik, di mana tepinya mempunyai bucu tajam, dan apabila disertakan dengan jalur di atas dan bawahnya, bucu tersebut seperti kelihatan ada banyak seperti buah belimbing. Apabila dilihat dari tepi, ia nampak nipis, manakala apabila dilihat daripada atas pula ia kelihatan lebar.

Namun bagi saya, sudut paling menarik untuk melihat motosikal ini adalah daripada belakang. Keseluruhan badan motosikal nampak seimbang dan tegap, dengan terdapat ekzos serta bahagian enjin yang terkeluar pada kedua-dua sisi. Tangki minyak itu pula kelihatan seperti kepada ular tedung.

Cuma ada satu bahagian yang saya rasakan seperti tidak masuk secara sempurna pada rekaan motosikal ini, iaitu butang kawalan pada bahagian pemegangnya. Ia nampak terlebih moden, tetapi sebenarnya masih lagi kemas dan berkualiti, sama seperti tempat duduk, lencana serta perincian lain yang terdapat padanya.

Bahagian utama pada motosikal ini, iaitu enjinnya adalah unit baru V-twin 90 darjah 850 cc, dan sebagai sebuah motosikal moden, ia kini dilengkapi dengan sistem penyejukan minyak, sebagai tambahan kepada sirip yang terdapat di tepi enjin untuk penyejukan udara. Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 55 hp pada 6,250 rpm dan 62 Nm tork pada 3,000 rpm.

Mungkin ada yang tidak begitu kagum dengan jumlah ini, tetapi saya boleh katakan, rasa kuasanya apabila pendikit dipulas adalah padu, dan anda perlu menggenggam kuat pemegang supaya badan tidak akan terkebelakang. Memotong dan memecut sudah tentu tidak menjadi masalah dengan motosikal ini selagi anda masih mampu bertahan dengan tarikan kuat tersebut, dan rintangan angin.

Bukan setakat melalui kuasa yang terhasil, enjin ini juga mahu menunjukkan kehadiran serta operasinya secara terus kepada penunggang. Apabila anda memulakan enjin sahaja, ia akan bergoncang kuat ke sisi, dan begitu juga setiap kali anda memulas dan melepaskan pendikit. Ini adalah satu karekter unik yang hampir menyamai motosikal dengan enjin boxer.

Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan kuasa disampaikan ke tayar belakang melalui sistem syaf. Tetapan ini sudah tentu memerlukan penyelenggaraan yang kurang berbanding sistem rantai, tetapi terdapat bunyi mekanikal yang akan terhasil apabila anda memasukkan gear dan melepaskan klac. Jika dalam kesesakan, di mana anda selalu menarik klac dan menukar gear, ia akan kedengaran lebih sibuk.

TUNGGANG UJI: Moto Guzzi V9 Roamer ada karekter unik, beri kepuasan dengan tunggangan gaya santai

Saya boleh katakan juga, pengendalian motosikal seperti V9 Roamer ini memerlukan cara yang berlainan berbanding motosikal biasa. Sekurang-kurangnya, itu adalah pendapat saya. Sebagai contoh, apabila menunggang motosikal lain, saya sudah biasa melakukan blip, iaitu meningkatkan sedikit rpm sambil menarik klac, sebelum menurunkan gear, dan bermain dengan pendikit (sedikit sahaja, sambil mengimbangi klac) apabila merangkak dalam keadaan perlahan.

Menunggang V9 Roamer, saya tidak boleh berbuat begitu kerana badan motosikal akan bergoyang ke tepi dan memberikan rasa yang berbeza. Perkara ini mungkin mengambil sedikit masa untuk dibiasakan, tetapi bagi saya, ia adalah luar daripada kebiasaan. Jadi, saya mengubah cara tunggangan apabila berada di atas V9 Roamer ini.

Apabila mahu memulakan perjalanan, saya hanya perlu menarik klac, masukkan gear dan lepaskannya perlahan-lahan sambil memulas sedikit demi sedikit pendikit. Apabila mendekati selekoh pula, saya membrek awal, menarik klac dan terus sahaja menurunkan gear, sebelum melepaskannya kembali. Semuanya tidak memerlukan bermain dengan pendikit secara kerap ataupun bila menarik klac.

Selain daripada gegaran enjin itu, sebenarnya perkara lain adalah lancar. Ini termasuklah pemasukan gear, serta tarikan klac. Tidak ada sekali pun seingat saya terjadi keadaan di mana gear tidak, ataupun susah mahu masuk. Satu lagi perkara yang mungkin ada yang tertanya; kaki saya tidak terasa panas berada berdekatan dengan enjin.

Saya mendapat lebih kepuasan menunggang V9 Roamer dengan cara santai, sesuai dengan tetapan yang telah disediakan, bersama dengan tempat duduk yang empuk. Sambll itu, saya boleh menghayati gema ekzos unik yang dihasilkan oleh enjin V-twin 90 darjah ini yang agak jelas, walaupun sekadar menggunakan ekzos asal.

TUNGGANG UJI: Moto Guzzi V9 Roamer ada karekter unik, beri kepuasan dengan tunggangan gaya santai

Panel meter yang disediakan juga ibarat memberi pengaruh supaya ia ditunggang secara santai. Bahagian analognya cuma menunjukkan kadar kelajuan, dan jika mahu melihat kadar rpm, anda perlu memilihnya supaya ia muncul di bahagian digital yang lebih kecil. Disebabkan saiznya, anda mungkin perlu menoleh beberapa kali untuk melihatnya dengan jelas.

Kedudukan gear juga dipaparkan pada bahagian digital ini, tetapi masalah yang saya dapati adalah ia menunjukkan tanda sengkang apabila klac ditarik. Ini ada kalanya memberikan sedikit kesukaran, sebagai contoh, apabila mendekati lampu isyarat semasa dalam gear tiga, dan saya sudah menarik klac, apabila berhenti saya mahu melihat saya berada dalam gear berapa sebenarnya, ia sekadar menunjukkan tanda sengkang. Jadi, saya perlu memikirkan sendiri berapa banyak gear perlu diturunkan dan ditarik kembali untuk masuk ke gear N.

Selain kedudukan gear dan tahap rpm, bahagian digital ini juga boleh memaparkan beberapa informasi lain termasuk odometer, trip meter, penggunaan bahan api semasa dan purata, kelajuan purata, jam dan suhu luar. Lampu-lampu amaran pula menyala secara berasingan.

Berkenaan suspensi, fork teleskopik 40 mm serta dua penyerap hentak di bahagian belakang memberikan kualiti tunggangan yang selesa, dan pada masa sama masih meyakinkan apabila berhadapan dengan selekoh. Turut membantu pada pendapat saya adalah penggunaan rim 19 inci di hadapan, dengan tayar 100/90 yang menjadikan permukaan tidak rata boleh diredah tanpa hentakan yang begitu menyakitkan. Belakang pula menggunakan rim 16 inci dan tayar 150/80.

Walaupun kedudukan tunggangan motosikal ini adalah santai, Moto Guzzi tidak mahu mengabaikan aspek keselamatan, dengan melengkapkan V9 Roamer dengan antara peralatan yang terbaik. Brek hadapannya sebagai contoh, adalah unit Brembo empat piston dengan cakera terapung 320 mm, yang kuasanya cukup kuat untuk menghentikan motosikal yang mempunyai berat 199 kg ini.

Pada bahagian belakang pula terdapat cakera 260 mm, berserta angkup dua piston, dan kedua-dua brek depan dan belakang dilengkapi dengan sistem ABS two-channel. Ia kemudiannya disokong pula lagi dengan MGCT (Moto Guzzi Traction Control), yang boleh dipilih dalam dua tahap. Melalui pengalaman saya, campur tangan sistem kawalan cengkaman ini tidak begitu agresif dan sekadar mengurangkan kuasa yang perlu untuk mengelakkan gelinciran.

Secara keseluruhannya, walaupun nampak klasik, V9 Roamer ini tetap adalah sebuah motosikal berteknologi moden dan meskipun rasa tunggangannya boleh jadi berbeza bagi sesetengah orang, itulah sebenarnya karekter unik sebuah Moto Guzzi, yang mungkin mahu dikekalkan oleh pengeluarnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required