Jaguar Malaysia mengumumkan bahawa siri jelajah “Art of Performance” bakal mendarat ke Malaysia bulan ini. Akan dilangsungkan dari 16 hingga 18 Mac di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), acara yang mula diperkenalkan buat pertama kali di Eropah pada 2016 berkenaan akan menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi dalam jelajahnya di Asia Pasifik.

Selain dari dapat melihat dengan lebih dekat, pengunjung juga bakal diberi peluang untuk memandu uji model-model seperti Jaguar XE, XF dan F-Pace pada litar dinamik yang direka khas, dan juga litar Smart Cones yang dibina bagi menyerlahkan ketangkasan pengendalian model-model tersebut serta menguji tahap kemahiran memandu peserta-peserta yang mengambil bahagian.

Bagi litar Smart Cones, ia dihasilkan menerusi inspirasi dari permainan ujian ketangkasan yang dikenali sebagai “Batak” dan menggunakan sistem teknologi tanpa wayar bagi menghasilkan litar sama ada yang telah ditetapkan atau secara rambang dari kon-kon yang menyala, bagi memberitahu pemandu dimana sasaran mereka seterusnya dengan pada masa yang singkat. Setiap pemandu akan menerima markah yang mengambil kira model kereta dan keadaan pemanduan.

Orang ramai yang menyertai acara ini juga bakal menjadi antara orang pertama di Malaysia untuk memandu model baharu Jaguar F-Pace. SUV yang telah memenangi anugerah World Car of the Year tersebut dijana enjin Ingenium turbo petrol baharu 2.0 liter berkuasa 250 PS/365 Nm – membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.

F-Pace belum lagi dijual secara rasmi di Malaysia dan ia bakal dilancarkan pada pasaran tempatan April ini, manakala tempahannya telah mula dibuka Disember lalu. Acara ini dibuka kepada orang awam, namun anda perlu mendaftar terlebih dahulu pada PAUTAN INI.