Jaguar Land Rover Malaysia telah memperkenalkan model Jaguar F-Type Coupe 2018 di negara ini. Peningkatan kecil telah dilakukan pada bahagian luaran dan dalaman, serta turut memperkenalkan varian 2.0 liter pengecas turbo Ingenium di pasaran tempatan.

Semakan luaran yang dilakukan termasuklah lampu utama LED baharu dan bampar hadapan yang direka semula, sementara di bahagian belakang pula kini menampilkan lampu yang turut diberi sentuhan lain dan kemasan corong ekzos tunggal baharu. Melengkapi peningkatan ini termasuklah roda 18-inci rekaan baharu dan juga warna luaran baharu iaitu Silicon Silver.

Bagi dalamannya pula, F-Type kini dilengkapi dengan tempat duduk slim-line yang ringan, dengan menggunakan aloi magnesium die-cast sebagai kerangka tempat duduk bagi penjimatan berat sekitar l8 kg berbanding sebelum ini.

Kemasan baharu juga kelihatan pada dua-tempat duduk dengan sentuhan krom dan aluminium, dan skema warna luaran bagi F-Type turut dipertingkatkan lagi dan kini kulit Siena Tan didatangkan sebagai pilihan.

Elemen standard yang turut ditampilkan kini termasuklah sistem infotainmen Touch Pro dengan skrin sesentuh 10-inci. Sistem ini menampilkan prosesor quad-core yang lebih berkuasa, 60 GB solid-state drive (SSD) berkelajuan tinggi dan rangkaian Ethernet pantas, termasuk lain-lain kelengkapan.

Bagi mekanikalnya, enjin 2.0 liter suntikan-terus petrol ditampilkan dan menawarkan 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelakuan yang dipacu ke roda belakang. Angka prestasi termasuk pacuan 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat dan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

Pengenalan enjin terbabit juga membuatkan kereta ini lebih ringan, dan ia juga terlibat dengan perubahan kadar gegelung, di mana ia mampu mengurangkan sebanyak 4% di hadapan dan 3% di belakang bagi pengurangan pada berat selekoh. Selain itu, ia turut didatangkan dengan program F-Type SVR, peredam monotube yang diolah semula untuk meningkatkan keseimbangan dan pengendalian.

Terakhir, harganya – F-Type 2.0L Ingenium 2018 ditawarkan pada harga RM575,800 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans), dan turutu didatangkan dengan program ‘Jaguar Care’ bersama waranti lima-tahun/150,000 km dan penyelenggaraan lima-tahun/65,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) dan juga program bantuan tepi jalan selama tiga-tahun.