Acura Integra Type R DC2 asli 1997 dijual pada harga RM264k di acara lelongan Barret Jackson Las Vegas

Acura Integra Type R DC2 asli 1997 dijual pada harga RM264k di acara lelongan Barret Jackson Las Vegas

Saban tahun, kereta-kereta sport JDM dilihat semakin bernilai dalam pasaran. Jika anda biasa dengan pasaran kereta-kereta begini, anda tentu perasan di Malaysia sendiri Mitsubishi Lancer Evo III asli kini dijual sama harga seperti model Evo IX, manakala Toyota Corolla AE86 yang berusia lebih dari 35 tahun boleh dijual dengan harga lebih RM100k.

Trend ini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia, ia sebenarnya trend pasaran Jepun sendiri dan juga dunia. Menerusi acara lelongan Barret Jackson Las Vegas semalam, satu rekod dunia telah dicatatkan di mana sebuah Acura Integra Type R 1997 telah dilelong dengan harga USD63,800 atau RM264,082.

Untuk pengetahuan anda, pada era 90’an, Honda hanya menghasilkan model-model Type R untuk pasaran JDM. Namun pada tahun 1997, jenama berkenaan ‘bermurah hati’ untuk membawa Integra Type R DC2 ke pasaran Australia dan Amerika Utara. Namun di Amerika, Inte-R versi pemanduan sebelah kiri ini dibina sedikit berbeza dari versi JDM, dan dihasilkan hanya 320 unit pada tahun 1997.

Ia dijual di bawah jenama divisi mewah Honda iaitu Acura, dan menerima muka pre-facelift menampilkan sepasang lampu hadapan berbentuk bulat berkembar berbanding lampu tirus melintang untuk model asli JDM spesifikasi 1995. Ia juga tidak menerima tempat duduk hadapan Recaro berwarna merah, tetapi hanya diberikan unit yang lebih sporty dari model GS-R biasa, dibaluti sued dengan serlahan jahitan benang merah.

Walau bagaimanapun, DC2 R pasaran Amerika ini masih dijana enjin 1.8 liter empat silinder DOHC VTEC B18C yang mampu menghasilkan 195 hp (197 hp untuk JDM) tanpa bantuan turbo, digandingkan dengan kotak gear manual lima kelajuan nisbah pendek.

Menurut laporan dalam laman Hagerty, Integra Type R DC2 1997 yang terjual berkenaan adalah unit ke-37 dari keseluruhan 320 unit lain. Meter perbatuan kereta tersebut hanya mencatatkan 1,191 batu atau hanya 1,916 km, dan ia hadir dengan ciri opsyen asli seperti sistem penghawa dingin serta pemain CD yang dihubungkan kepada enam pembesar suara.

Ia juga masih tampil dengan warna asal Championship White, dan apa yang benar-benar membuatkan kereta ini mahal adalah kerana ia langsung tidak diubahsuai – sesuatu yang sangat rare kerana rata-rata Type R akan dibeli oleh mereka yang terpengaruh dengan budaya ubahsuai Jepun.

Nak tahu lebih lagi berkenaan falsafah kejuruteraan dan spesifikasi Integra Type R DC2 ini dan model-model Type R lain? Baca artikel Legasi Type- R yang telah kami siarkan sempena ulangtahun ke-25 tahun Type R tahun lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required