Walaupun sudah menunjukkan ZX-25R dan Z H2 di Tokyo Motor Show 2019, Kawasaki masih mempunyai beberapa model baru untuk ditunjukkan di pameran EICMA 2019 dan ini termasuklah Z900 2020. Sekali pandang anda mungkin nampak ia sama sahaja, tapi sebenarnya banyak juga bahagian yang diubah atau ditambah pada motosikal naked ini.

Rekaan Sugomi padanya masih dikekalkan tetapi sedikit perubahan diberi termasuk pada panel tepi, pelindung tangki, penghadang enjin bawah dan pelindung lengan ayun. Kemudian, lampu hadapannya adalah baru dengan sistem LED – sekarang semua lampu Z900 adalah LED kecuali lampu penunjuk arah.

Enjin empat silinder penyejukan cecair 948 cc dengan kuasa 124 hp dan 98.6 Nm tork yang sama masih digunakan, tetapi penunggang sekarang boleh menukar mod tunggangan kepada Low (55% kuasa sahaja dan penyampaian lebih lembut) atau Full, dan dipadankan dengan pilihan tiga tetapan kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC) iaitu Sport, Road, dan Rain.

Bagi memberi tunggangan yang lebih memuaskan, kerangka Z900 ini juga telah diubah dan sekarang menggunakan jenis Trellis yang dibuat daripada besi high-tensile twin-spar. Untuk memadankan perubahan casis ini, tetapan suspensi motosikal ini (depan dan belakang boleh dilaras) turut diubah.

Pada bahagian kokpit, penunggang dapat menikmati paparan yang lebih moden dengan penggunaan skrin TFT 4.3 inci baru yang boleh memaparkan semua informasi berkaitan dan boleh disambung dengan aplikasi Rideology dalam telefon pintar secara bluetooth untuk fungsi memeriksa data tunggangan, paparan mesej yang diterima dan membuat talaan kepada motosikal.

Z900 2020 mencatat berat 212 kg dan perincian lainnya adalah termasuk tangki bahan api 17 liter, tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2, brek cakera berkembar 300 mm serta angkup empat piston di hadapan, brek cakera tunggal 250 mm serta angkup satu piston di belakang dan tinggi tempat duduk 820 mm.