RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

Barisan pelumba kereta wanita di Malaysia ternyata kian bersinar, biar pun harus bersaing dengan pelumba berlawanan jantina. Kehadiran pelumba kereta wanita ini ternyata bukan lagi dianggap sebagai seri di litar, bahkan ‘pencabar’ kepada pelumba lelaki. Seringkali juga aksi yang ditunjukkan oleh pelumba wanita ini di litar mendatangkan debaran termasuk di kalangan penonton.

Antara pelumba wanita yang kian mekar dalam sukan permotoran ini ialah Nurul Husna Nasharuddin. Beliau telah berkecimpung dalam arena ini sejak tahun 2011 dan mula menyertai Team Nash Racing, yang dikendalikan oleh bapanya sendiri.

Menurut Husna, dia didedahkan dengan sukan permotoran oleh bapanya sedari kecil, menerusi go-kart. Sepanjang tempohnya membesar sehingga usia remaja, Husna juga sering kali menjadi peneman bapanya yang ketika itu sudah mula aktif menyertai perlumbaan kereta di litar.“Saya anak kedua daripada lima beradik yang kesemuanya perempuan. Memang sejak kecil, ayah memberikan pendedahan tentang sukan ini kepada kami. Malah kami kerap dibawa bermain go-kart pada hujung minggu dan cuti sekolah.

“Ayah pun ada belikan go-kart untuk kami, tapi kelengkapan macam sut lumba tu tak adalah. Sarung tangan pun pakai ski glove, kasut pun jenis biasa saja. Tayar go-kart pun yang terpakai. Tapi kami tak kisah pun semua tu, asalkan kami enjoy dengan aktiviti ni,” ujar gadis yang memiliki kelulusan dalam bidang perakaunan daripada sebuah universiti di kota London.

Malah Husna turut bercerita, pada usianya 13 tahun, dia sudah mula diajar memandu kereta oleh allahyarham datuknya.

“Perodua Kancil manual merupakan kereta pertama yang saya pandu, arwah atok yang ajar. Dari situ, sedikit sebanyak minat saya terhadap kereta dan pemanduan makin membara. Setakat memandu di kawasan kampung, tapi itu pun dah cukup seronok,” ceritanya yang mengakui turut meminati motosikal berkuasa tinggi dan memiliki lesen B Penuh.

Tambahnya, “Masa umur 15-16 tahun, saya belajar bawak motor dan mencuba menunggang motosikal berkuasa tinggi milik pakcik saya, Yamaha R1. Jadi, secara tak langsung, ia menimbulkan niat di hati, mahu memiliki motosikal berkuasa tinggi. Cuma sampai sekarang, belum dapat merealisasikannya kerana tidak dapat restu dari ibu ayah. InsyaAllah suatu hari nanti, mana tahu ada peluang dan rezeki saya untuk menunaikan hajat yang satu itu.”

RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

Pada tahun 2011, iaitu ketika berusia 21 tahun, bapanya mempelawa Husna untuk menyertai perlumbaan di litar. Pastinya peluang ini tidak dilepaskan, dan menyertai perlumbaan edurance serta bernaung di bawah Team Nash Racing.

“Memang tawaran ayah tidak dapat saya tolak sebab minat dalam sukan ini kian membuak-buak. Dalam Team Nash Racing, saya bergandingan dengan ayah serta Admi Syahrul. Walau bagaimana pun, pembabitan saya dalam perlumbaan terpaksa dilupakan buat seketika sebab saya harus fokus terhadap pengajian saya di kolej,” sambungnya lagi.

Beberapa tahun berhenti berlumba, selepas menamatkan pengajian di London, akhirnya Husna kembali menggegarkan litar. Selain Team Nash Racing, dia juga menjadi pilihan beberapa pasukan lumba yang lain termasuk Team Dream Chaser, Garang Racing dan tahun lalu, dia menjadi seorang daripada tiga pelumba wanita yang menyertai pasukan Proton R3 untuk bersaing dalam perlumbaan Sepang 1000km (S1k) 2019 yang berjaya mendapat tempat ke-tujuh.

“Kalau diikutkan, pencapaian yang sangat menggembirakan saya ialah sewaktu dinobatkan sebagai raja pecut selepas berjaya mengatasi 20 pelumba lelaki acara ZeroToLose dan beberapa kali memonopoli podium teratas dalam siri kejuaraan besar termasuk Asia Classic Car Challenge.

“Untuk S1k 2019, saya juga mensasarkan mampu meletakkan pasukan ke kedudukan yang lebih selesa, namun disebabkan berhadapan dengan beberapa masalah teknikal, kami hanya berjaya menduduki tangga ketujuh. Apa pun, peluang menyertai pasukan sehebat Proton R3 juga sangat membanggakan saya, malah ini antara pencapaian terbesar saya dalam sukan permotoran ini.

“Bukan mudah untuk saya dapat peluang menjadi sebahagian daripada pasukan Proton R3. Saya harus menyertai MSF-R3 Racers Mentor Program terlebih dahulu untuk melalui proses saringan dan pemilihan untuk menjadi pelumba di bawah pasukan yang disegani ini. Bahkan proses pemilihannya juga sangat ketat dan kriteria yang diperlukan juga agak tinggi,” ujar Husna yang pernah dicalonkan untuk kategori Atlet Permotoran Wanita Harapan Terbaik dalam Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2019.

Ketika ditanya, apakah cabaran yang paling tidak boleh dilupakan sepanjang terbabit dalam dunia perlumbaan ini, Husna menjawab, “Sewaktu tahun pertama saya sebagai pelumba, ramai yang mempertikaikan kredibiliti saya. Bahkan ada yang kata, saya tak boleh pergi jauh dalam bidang ini, susah nak dapatkan tajaan disebabkan saya wanita berhijab dan tidak berpenampilan menarik.

RENCANA: Nurul Husna pelumba wanita yang kian mekar – aksinya di litar mampu cabar pelumba lelaki

“Walau apa pun, saya jadikan kata-kata itu sebagai pencabar dan saya mahu membuktikan bahawa saya memiliki kredibiliti dalam bidang ini. Walau masih ada yang beranggapan, nak jadi pelumba wanita perlu memiliki paras rupa yang cantik dan bijak bergaya. Tapi saya hanya sandarkan pada bakat dan kemahiran yang ada. Dan alhamdulillah, kini makin banyak pihak yang menerima kehadiran saya dalam sukan permotoran ini.”

Menurut Husna, perlumbaan di litar juga banyak membentuk dirinya menjadi seorang yang lebih positif, berkeyakinan diri dan matang. “Saya juga tidak gentar untuk terus bersaing dengan pelumba lelaki. Malah kini, mereka juga menganggap pelumba wanita sebagai pesaing, dan tidak memandang rendah akan keupayaan kami.”

Perkembangan terbaru mengenai Husna, tahun ini, dia akan bersama dengan pasukan BHP Racing, untuk siri perlumbaan Malaysian Championship Series (MCS) 2020 yang akan berlangsung di Sepang tidak lama lagi. Di mana Husna telah mendapat tajaan sepenuhnya daripada BHP Racing dan juga Excel Group. Untuk Husna, paultan.org ingin mengucapkan selamat maju jaya dan moga terus mekar dalam sukan permotoran ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required