Atas arahan sekatan pergerakan oleh kerajaan India untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan kenderaan tidak lagi berlegar di atas jalan raya serta kebanyakkan kilang perlu dihentikan dari beroperasi, Indeks Kualiti Udara (AQI) negara berkenaan bertambah baik secara serta merta, lapor Reuters.

Aliran trafik di kota New Delhi mula lengang pada pagi Ahad lalu apabila perdana menteri India, Narendra Modi meminta rakyatnya untuk duduk di rumah secara sukarela, sebelum sekitar 75 daerah di negara berkenaan telah diberikan arahan untuk sekatan pergerakan mandatori bermula semalam.

India tersenarai dalam 50 negara dengan kualiti udara paling teruk di dunia tahun lalu oleh IQAir di mana di New Delhi sendiri mencatatkan bacaan AQI tidak sihat pada kadar 161 pada hari biasa. Walau bagaimanapun, semalam bacaan AQI di bandaraya tersebut mencatatkan bacaan sekitar 93 yang boleh dikategorikan sebagai sederhana.

Manakala di Mumbai pula, AQI yang biasanya memberikan bacaan harian purata 153 pada Mac tahun lalu, menunjukkan penurunan mendadak sehingga 90 semalam, tulis laporan ini.

“Sebab utama (penurunan ini) adalah kerana aliran trafik yang turun mendadak,” kata Dr. Gufran Beig, pengarah projek di agensi pemantau alam sekitar SAFAR. Reuters turut melaporkan bahawa bangunan pencakar langit yang sebelum ini diselubungi kabut kini mula jelas kelihatan, dan ada juga penduduk menyatakan bahawa mereka dapat melihat bintang dengan lebih banyak di waktu malam.

Sehingga semalam, India mencatatkan sekurang-kurangnya 341 kes positif COVID-19, di mana tujuh daripadanya telah disahkan meninggal dunia. Manakala laporan kajian yang diterbitkan oleh Lancet Planetary Health menyatakan bahawa 1.24 juta orang telah terkorban di India sehingga tahun 2017 kerana pencemaran udara.