Seperti kebanyakan pengeluar kereta dunia, Aston Martin turut mengambil keputusan untuk menggantung sementara operasi kilang produksinya di United Kingdom (UK) mulai hari ini sebagai langkah pencegahan wabak pandemik COVID-19.
Dua kilang terbabit terletak di Gaydon, tengah England yang membangunkan kereta sport, dan satu lagi, kilang baharu di St Athan, South Wales, yang menghasilkan SUV baharu DBX.
Pengeluar kereta berkenaan berkata, pelaksanaan penggantungan kilang produksi ini dijangka sehingga 20 April, namun pihaknya akan sentiasa memantau situasi dan “akan segera menyambung operasi apabila keadaan mengizinkan.”
“Penularan virus ini menambahkan lagi risiko terhadap prestasi kewangan untuk tahun 2020, dengan hanya sekitar 2/3 rangkaian pengedaran di peringkat global yang masih beroperasi buat masa ini,” menurut kenyataan Aston Martin seperti yang dilaporkan oleh Automotive News Europe.
Beberapa jenama kenderaan dunia seperti Bentley, Honda, Toyota, Nissan, MINI, Jaguar Land Rover, turut mengambil langkah yang sama dengan menggantung sementara operasi di kilang produksi masing-masing di UK disebabkan pandemik ini. Manakala Ford pula telah menghentikan sementara kilang pengeluaran enjin di Dagemham berhampiran London dan juga Bridgend, Wales.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.