TIP: Bagaimana hendak mengurangkan risiko virus COVID-19 ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda?

TIP: Bagaimana hendak mengurangkan risiko virus COVID-19 ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda?

Umum mengetahui, Malaysia kini sedang berusaha keras untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak pandemik COVID-19. Buat setakat petang ini, menurut Kementerian Kesihatan, sudah 19 kematian dicatatkan dengan sejumlah 1,796 kes positif COVID-19.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COVID-19 menular melalui orang yang terjangkit dengan virus ini. Kemudian virus ini akan tersebar melalui sentuhan atau pun titisan pernafasan dari hidung atau mulut individu terbabit ketika dia terbersin atau batuk. Titisan tersebut yang terkena dengan sesuatu benda atau permukaan dan apabila disentuh oleh individu lain, maka dia juga boleh dijangkiti virus berkenaan.

Para saintis di United Kingdom pula mendapati, COVID-19 ini mampu bertahan pada permukaan yang kerap disentuh sehingga sembilan hari. Di mana permukaan yang mempunyai potensi jangkitan adalah tombol pintu, besi pemegang dalam kenderaan awam serta beberapa permukaan yang kerap disentuh di kawasan tumpuan ramai seperti hospital dan sebagainya.

Menurut kajian terbaharu di Jerman pula, virus ini mampu bertahan empat kali lebih lama berbanding virus demam biasa pada sesuatu permukaan yang telah disentuh. Namun begitu, virus boleh dihapuskan jika semua permukaan tersebut dilap dengan menggunakan produk pembasmi kuman.

TIP: Bagaimana hendak mengurangkan risiko virus COVID-19 ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda?

Tahukah anda, virus ini juga mungkin boleh ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda sendiri. Bayangkan, anda baru saja pulang dari pasaraya selepas membeli keperluan dapur. Anda tidak tahu mungkin ada yang berada di persekitaran anda yang merupakan pembawa virus ini tetapi tidak mempunyai simptom.

Anda memegang troli membawa barang yang dibeli, tidak memakai sarung tangan, tidak membasuh tangan atau menggunakan hand sanitizer, terus masuk ke dalam kereta. Pegang stereng, tombol gear, butang kawalan dalam kenderaan dan terus memandu pulang. Tanpa disedari, virus tersebut terus berada di dalam kereta anda! Dan malangnya, bukan anda seorang sahaja yang terdedah dengan virus tersebut, bahkan orang yang berada di sekeliling anda, bahkan keluarga anda sendiri.

Justeru, apa yang perlu anda lakukan sebaik sahaja sampai di rumah? Ini ada panduan yang mungkin boleh membantu anda menghindari virus ini dari ‘berumahtangga’ di dalam kenderaan anda.

Pembersihan

Seperti mana yang diterangkan di atas, COVID-19 ini mampu bertahan pada permukaan yang kerap disentuh sehingga sembilan hari. Ada sesetengah kajian juga menyatakan, ia mampu bertahan selama 72 jam untuk permukaan material plastik atau keluli tahan karat. Sesetengah material seperti besi, virus boleh bertahan sekitar 13 jam, manakala bagi polypropylene (materian yang banyak digunakan dalam komponen plastik di dalam kenderaan) mampu bertahan sekitar 16 jam.

Komponen kenderaan diperbuat daripada pelbagai material, jadi jangka hayat virus itu mampu bertahan juga adalah berbeza-beza.

Cahaya UV, yang dipancarkan oleh matahari, diketahui adalah ejen yang boleh mendatangkan bahaya kepada mikrob ini, jadi secara tidak langsung, ia berkeupayaan membantu mengekalkan tahap virus di dalam kereta secara lebih terkawal. Walau bagaimana pun, kebanyakan pengeluar kereta kini memasang lapisan kaca UV khususnya pada cermin tingkap, maka ini tidak begitu memberikan kesan langsung kepada virus tersebut.

Jadi, sejurus pulang, parkir kereta anda terlebih dahulu di bawah terik matahari (jika waktu tersebut masih siang lah), bukak semua pintu. Untuk proses pembersihan, memadai menggunakan sabun pencuci biasa sahaja atau pun disinfectant wipes tissue (tisu disinfektan). Jangan sesekali menggunakan hand sanitizer untuk ‘mencuci’ komponen di dalam kabin kereta anda kerana ia boleh menyebabkan hakisan atau kerosakan pada material yang digunakan terutamanya plastik, vinyl dan kulit. Selain daripada itu, anda perlukan tuala bersih (tuala gentian mikro paling sesuai) dan semangkuk air bersih.

Anda boleh juga rujuk pada buku panduan manual kereta anda, bahagian dalaman kereta yang perlu dibersihkan dengan produk apa yang boleh digunakan.

Langkah pertama: Kosongkan ruang dalam kereta

Bawa keluar semua barang atau item termasuk sampah, kerusi keselamatan kanak-kanak (cara pembersihan kerusi keselamatan ini, anda boleh rujuk pada buku panduan yang dikeluarkan oleh pengeluarnya), kotak tisu, duit syiling, peranti SmarTAG, alas kaki, bantal, kasut, jaket dan sebagainya. Letakkan ia di tempat yang selamat terlebih dahulu.

Langkah kedua: Gunakan penyedut hampagas (vacuum cleaner)

Sedut semua habuk, kekotoran di semua permukaan dan ruang termasuk di celah-celah tempat duduk, konsol tengah, tempat duduk, dan sebagainya.

Langkah ketiga: Mulakan mengelap semua pemukaan dan komponen yang terbabit

Disebabkan banyak komponen elektronik di dalam kenderaan, maka anda perlu lebih berhati-hati. Jangan sampai ia menjejaskan komponen elektronik terbabit. Tuala bersih tersebut selepas direndam dalam air bersama sabun pencuci biasa (dalam kuantiti yang sedikit), perah dahulu, jangan pula masih berbuih-buih dan meleleh-leleh airnya, anda terus lakukan proses pembersihan.

Lap semua bahagian tersebut, biarkannya selama lebih kurang 20-30 saat sebelum membilasnya dengan menggunakan tuala lain bersama air yang bersih (tanpa sabun pencuci). Jika tempat duduk kereta anda menggunakan material fabrik, jangan sampai basah pula bahagian ini.

Berikut merupakan komponen yang perlu anda bersihkan (terutamanya yang telah anda sentuh sepanjang pemanduan):

  • Pemegang pintu di bahagian luar dan dalam. Jangan lupa bahagian but sekali
  • Roda stereng
  • Tuil gear/penukar gear/brek tangan
  • Komponen/butang kawalan (termasuk pada unit utama, sistem infotainmen, kawalan suhu, butang penghidup enjin, indikator, dan sebagainya
  • Tempat duduk
  • Kunci kereta
  • Corong pendingin hawa
  • Cermin pandang belakang
  • Pelaras tempat duduk
  • Perehat tangan
  • Tempat pemegang cawan (cup holder)
  • Skrin sesentuh
  • Glove box
  • Panel pada pintu (dalaman)
  • Cermin tingkap (luar dan dalam)
  • Tali pinggang kaledar (termasuk buckle)
  • Jaga diri!

    Selain menyah-viruskan kenderaan anda, jangan lupa tentang anda sendiri. Pastikan anda terus mandi, sejurus pulang (elakkan didekati anak atau ahli keluarga yang lain). Rendam pakaian anda dengan sabun kemudian baru membasuhnya. Juga pastikan anda selalu membasuh tangan menggunakan sabun, selain hand sanitizer. Ramai pengamal perubatan berkata, kerap membasuh tangan menggunakan sabun sudah memadai, tanpa hand sanitizer. Ingat, sentiasa jaga kebersihan diri. Jarakkan diri anda dengan orang lain ketika berada di tempat awam (jangan lupa pakai topeng penutup hidung dan mulut serta sarung tangan plastik jika anda perlu memegang sesuatu termasuk nozzle di stesen minyak, mesin ATM, troli di pasaraya dan sebagainya) dan yang paling penting, elakkan keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini yang dijangka tamat 14 April ini. #duduksajadirumah #juststayathome

    Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

    Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

    10% discount when you renew your car insurance

    Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

    Car Insurance

    Izwaashura Sadali

    Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

     
     

    Add a comment

    required

    required