Alfa Romeo telah memperkenalkan Giulia dan Stelvio Quadrifoglio 2020, di mana model ini diberikan penambahan kelengkapan dan sistem keselamatan. Untuk penampilan, ia sekarang mendapat lampu belakang LED yang lebih gelap, kemasan hitam pada lencana dan rim 21 inci untuk Stelvio.

Bagi mendapatkan gaya lebih sporty, pelanggan boleh memilih pakej oleh Mopar yang memberikan gril hadapan yang mempunyai kemasan V di dalam, pelindung cermin sisi serta spoiler belakang diperbuat daripada gentian karbon. Perincian seperti muncung ekzos dan angkup brek masih lagi sama seperti sebelum ini, tetapi sekarang model ini mendapat pilihan warna baru iaitu 6C Villa d’Este Red, GT Junior Ocra dan Montreal Green.

Pada bahagian dalam terdapat roda stereng dan tombol gear yang dibalut dengan kulit, tali pinggang yang boleh dipilih dalam warna hijau atau merah, tempat duduk gabungan kulit dan Alcantara, serta konsol tengah yang mempunyai ruang simpanan lebih besar. Tempat duduk rangka Carbon Sparco disediakan sebagai pilihan tambahan.

Sistem infotainmen dipertingkat dengan unit skrin sesentuh 8.8 inci, yang mempunyai servis ketersambungan serta rekaan interface baru. Ia hanya disediakan secara eksklusif untuk model Quadrifoglio, dengan bahagian Performance memaparkan data penting seperti penyampaian tork, tekanan turbo, kuasa dan chronometer digital.

Enjin masih lagi menggunakan unit petrol V6 2.9 liter, yang ditala untuk menghasilkan 510 hp dan 600 Nm tork pada 2,500 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan yang menghantarkan kuasa kepada semua tayar melalui sistem AWD Q4 yang dilengkapi sistem Alfa Active Torque Vectoring.

Kelengkapan lain yang diberikan khas untuk model Quadrifoglio ini adalah Alfa Active Suspension, mod pemanduan Alfa DNA Pro, splitter Alfa Active Aero (Giulia sahaja) dan Alfa Chassis Domain Control. Pemilik yang mahukan bunyi lebih unik boleh mendapatkan ekzos Akrapovic yang mempunyai dua mod dan kemasan muncung gentian karbon.

Akhir sekali, Giulia dan Stelvio Quadrifoglio kini juga didatangkan secara terus dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang dibangunkan bersama Bosch, dan boleh menawarkan sistem pemanduan autonomous tahap 2.

Dalam sistem ini terdapat Lane Keep Assist, Active Blind Spot Assist, Active Cruise Control, Traffic Sign Recognition and Intelligent Speed Control, Traffic Jam Assist and Highway Assist, serta Driver Attention Assist. Ciri lain seperti Forward Collision Warning dan Autonomous Emergency Braking masih lagi dikekalkan.