Land Rover Discovery Sport generasi kedua telah pun berada di pasaran Malaysia. Buat masa ini hanya ada satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu R Dynamic, dengan pilihan konfigurasi lima- dan tujuh-tempat duduk.

Seperti Evoque baharu, Discovery Sport baharu ini juga dibangunkan dengan platform terkini Land Rover iaitu Premium Transverse Architecture (PTA), yang juga boleh digunakan untuk penjana kuasa elektrifikasi. Ia turut menawarkan 13% peningkatan dalam ketegaran struktur, walau bagaimana pun masih menerapkan hasil luaran yang cukup terperinci.

Perubahan yang ditampilkan termasuklah dengan kehadiran lampu utama LED signitur baharu dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-U, gril hadapan, bampar, lampu belakang dan corong ekzos baharu serta lapisan plastik yang sama dengan warna badan. Model ini turut dipadankan dengan roda 20-inci yang dibaluti tayar prestasi tinggi Pirelli Scorpion Zero 235/50.

Bahagian kabin juga diberi sentuhan yang lebih segar, termasuk dilengkapi papan pemuka dengan imej lebih moden, tuil gear elektronik jenis-pistol (menggantikan unit lama rotary dial), sistem infotainmen Touch Pro 10.25-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan ANdroid Auto, Paparan Pemandu Interaktif digital 12.3-inci dan ClearSight Ground View, serta paparan Generation 2.

Untuk prestasi, Discovery Sport buat masa ini ditawarkan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, dengan hamburan kuasa 200 PS dan tork 320 Nm. Dipadankan bersama transmisi automatik secara standard, yang bekerjasama dengan sistem Terrain Response 2.

Sistem terkini ini turut menawarkan mod Auto baharu yang disesuaikan dengan tatapan kenderaan bagi semua bentuk laluan, dan didatangkan dengan mod pemanduan Comfort, Sand, Grass-Gravel-Snow dan Mud & Ruts. Turut didatangkan dengan fungsi Driveline Disconnect yang boleh menukar mod pemanduan Discovery Sport ke pacuan roda-belakang ketika sedang dipacu. Ia mampu mengurangkan geseran, walau bagaimana pun Land Rover berkata sistem AWD boleh berfungsi semula dalam kurang 500 milli-saat.

Untuk aspek keselamatan, SUV ini didatangkan dengan tujuh beg udara dan bantuan parkir hadapan/belakang, kamera pandangan sekeliling 360-darjah dengan fungsi Wade Sensing, Kawalan Kelajuan Adaptif dengan bantuan stereng, Bantuan Kekal Lorong, Brek Kecemasan Sendiri dan Pemantauan Keadaan Pemandu.

Harga bagi model lima-tempat duduk ialah RM379,800, sementara versi 5+2 pula ditawarkan pada RM409,800. Setiap pembelian didatangkan dengan program Land Rover Care, termasuk waranti lima-tahun/150,000 km, penyelenggaraan lima-tahun/65,000 km dan juga bantuan tepi jalan selama tiga-tahun.