Pindaan akta hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk akan di bawa ke persidangan Parlimen terdekat

Pindaan akta hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk akan di bawa ke persidangan Parlimen terdekat

Bagi memastikan hukuman yang lebih setimpal dikenakan kepada pemandu-pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut yang kerap berlaku akhir-akhir ini, kerajaan bakal membawa cadangan pindaan akta berkaitan ke Parlimen secepat mungkin.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Bin Haji Hassan dalam satu kenyataan media yang baharu sahaja dikeluarkan, langkah segera yang akan diambil ialah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan dibawa ke persidangan Parlimen terdekat.

“Antara pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitkan peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, iaitu Seksyen 44 (Akta 333), tetapi juga memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama, walaupun tidak terlibat dalam apa-apa kemalangan.

“Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pemandu yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara (discretionary power) mahkamah.

Pindaan akta hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk akan di bawa ke persidangan Parlimen terdekat

“Dengan meningkatkan kadar denda dan hukuman penjara, Jabatan Peguam Negara, selepas pindaan dibuat, boleh mendakwa pesalah di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi,” tulisnya dalam kenyataan berkenaan.

Beliau juga berkata, sebagai langkah pencegahan (deterrent), pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302, iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307, iaitu cubaan membunuh dengan niat.

“Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk, terutama bagi membolehkan mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang,” tambahnya lagi.

Beliau turut menjelaskan, meskipun kerajaan bertegas dalam isu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk, ia tidak bermakna kerajaan menafikan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras. “Mereka bebas berbuat demikian, selagi mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya,” jelasnya.

Pindaan akta hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk akan di bawa ke persidangan Parlimen terdekat

Dalam perkembangan sama, awal minggu ini Menteri Pengangkutan Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan dan pindaan berkenaan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan Jun ini.

“Saya menggunakan kesempatan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dan dalam tempoh PKPB ini untuk berada di Pejabat Menteri Pengangkutan bagi meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol / dadah / memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

“Justeru itu, pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di MOT bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan Akta berkaitan. Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” tulis beliau dalam satu kenyataan.

Berkenaan kajian soal selidik yang dinyatakan olen menteri tersebut, anda digalakkan untuk menyertai soal selidik yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan tersebut menerusi PAUTAN INI.

Dr. Wee turut menegaskan bahawa selari dengan kenyataannya sebelum ini, beliau akan bertindak dan komited demi pembelaan kepada mangsa korban dalam kemalangan maut dan juga menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required