Bukan semua orang akan beli kereta terpakai, tetapi ramai daripada kita mungkin pernah pertimbangkannya. Dibandingkan dengan apa yang boleh kita peroleh pada harga yang sama dengan kereta baru, pilihan kereta terpakai biasanya akan bagi lebih banyak – misalnya lebih premium ataupun kereta impian anda juga boleh diraih.

Tetapi, membeli kereta terpakai bukan semudah beli kereta baru. Kalau bajet mengizinkan, beli kereta baru memang satu pilihan yang baik dan tak memeningkan kepala. Bau kereta baru, dan kadar faedah bagi pinjaman sewa-beli juga lebih rendah serta ada jaminan penuh dari kilang antara kelebihan yang tak boleh dibanding kalau beli kereta terpakai.

Bagi yang kaki kereta, mungkin mereka ok untuk lepak kerap dan lama-lama di bengkel kereta. Tetapi bagi ramai lagi orang biasa, nak buka bonet tengok enjin pun jarang-jarang – semua itu hanya diuruskan oleh juruteknik di pusat servis bila kereta dihantar ikut jadual. Bagi kebanyakan orang, kereta hanya sebuah “alat” untuk bergerak, dan perlulah boleh diharap. Kereta baru biasanya jarang-jarang bermasalah; kalau pun nasib tak baik, sentiasa ada jaminan dari kilang sehingga lima-tahun.

Kenapa Myvi kalau boleh dapat BMW?

Seperti yang dialami oleh rakan sekerja kami Danny Tan, itu memang pandangan praktikal, tetapi daya tarikannya sangat kuat. Selepas menjual kereta hariannya Mac lalu, dia ingin mencari kereta lain. Di dalam waktu-waktu penularan Covid-19 itu, pilihan paling praktikal ketika itu baginya ialah Perodua Myvi, dan mengenepikan naluri “kaki kereta” yang masih tersisa dalam diri.

Tetapi pilihan itu juga bukanlah mudah. Tanpa diminta, pilihan-pilihan lain sentiasa bermunculan setiap hari, bagi kereta-kereta yang boleh mengusik perhatian “kaki kereta”. Myvi AV? Kenapa itu, jika kita boleh dapat BMW 1 Series pada harga RM50k? Mungkin model berkenaan sudah berusia lapan tahun dan model paling asas, tapi ia tetap sebuah BMW.

Terdapat banyak pilihan dan kontradiksi seperti ini jika mempertimbangkan antara kereta baru dengan yang terpakai, dan kami boleh faham jika ada yang akan memilih “jalan” untuk bersama kereta terpakai. Berdepan dengan dilema seperti ini, kereta terpakai memang ada daya tarikan yang tersendiri, tetapi tak semua yang membeli itu berpuas hati dengan pilihan tersebut. Bagaimana kami tahu?

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) telah menerima banyak aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan pembelian kereta terpakai mereka, dengan ramai antaranya melaporkan tentang masalah yang tidak pernah mereka jangkakan atau ketahui. Fomca menghubungi kami untuk menulis satu laporan berkaitan panduan pembelian kereta terpakai, dan kami sambut. Inilah laporannya.

Sebelum terlupa, kereta terpakai ini juga termasuk kenderaan “recon”, kereta terpakai yang diimport dari negara seperti Jepun atau UK. Banyak daripada kereta-kereta premium seperti ini lebih murah daripada unit yang diimport secara rasmi. Tapi, itu memang dijangkakan; sudah nama pun kereta terpakai.

Tahu apa yang akan anda depani

Memang ada banyak pilihan dan kelebihan untuk kereta terpakai. Paling utama, tanda harga. Kereta yang dulu mahal kini sudah jadi mampu milik lepas susut nilai. Dan sudah tentu, anda akan mendapat lebih nilai berbanding jumlah wang yang dibelanjakan untuk membeli kereta terpakai.

Kereta terpakai biasanya memang lebih berusia, tetapi anda boleh memilih lencana atau model yang lebih premium atau saiz kereta yang lebih besar jika dibandingkan harga yang sama untuk sebuah kereta baru. Tambahan pula kalau anda memang peminat kereta sport; pilihan sentiasa terbentang luas untuk kereta terpakai.

Misalnya, jika kita gunakan peruntukkan RM50k untuk menilai pilihan, hanya beberapa model kereta baru saja yang boleh masuk dalam senarai. Tetapi, dalam pasaran kereta terpakai, anda boleh berangan-angan untuk mendapatkan model seperti Camry XV40 hinggalah kepada Golf GTI Mk5. Lain-lain kelebihan, anda boleh tengok dan pandu unit sebenar yang akan anda miliki, insurans yang lebih murah dan tak ada tempoh menunggu – tunai dan bawa balik lebih mudah.

Selain itu, kereta “recon” juga banyak pilihannya, dengan model-model yang tidak dibawa masuk secara rasmi turut terselit. Sama seperti pasaran kereta terpakai yang lain, kereta “recon” juga datang dengan senarai spesifikasi dan kemasan yang sangat luas, dengan kelengkapan yang banyak berbanding unit yang diimport secara rasmi.

Semuanya tentang jaminan

Sebelum kita berbincang lebih jauh, ada satu perkara yang menjadi beza paling besar antara kereta baru dan kereta terpakai — jaminan. Adalah sangat baik sekiranya kereta terpakai yang akan anda beli masih berada dalam tempoh aktif jaminan pengeluar. Jika, waranti masih sah, itu maksudnya kereta terbabit juga masih agak baru dan kurang bermasalah, dan harganya sudah tentu lebih murah daripada yang benar-benar baru.

Selain membeli terus daripada pemilik asal, jenama-jenama seperti Porsche hinggalah ke Perodua juga ada program kenderaan terpakai masing-masing, menawarkan kereta-kereta yang telah diperiksa secara menyeluruh dan diberikan pengesahan rasmi untuk memastikannya berada dalam keadaan yang betul-betul baik. Kereta terpakai dari program sebegini juga biasanya datang dengan jaminan tertentu kepada pemilik baru.

Sesetengah pengedar kereta “recon” turut sama menyediakan jaminan terhadap kereta yang mereka bawa masuk dan jual untuk memberikan kelegaan. Ini biasanya dalam bentuk jaminan pihak ketiga, dan skop perlindungannya juga berbeza – pastikan anda tanya perincian lanjut dan baca bahan bercetak tentang apa yang dilindungi dan apa yang tidak. Kerana, ia sama sekali tidak selengkap jaminan dari kilang oleh pengeluar.

Pertimbangkan kos pemilikan, bukan hanya harga jualan

Dalam membuat penilaian untuk membeli kenderaan, jangan hanya pandang kepada harga jualannya saja – dan juga ansuran bulanannya – semata-mata. Mungkin betul anda mampu untuk memilikinya, tetapi ingat, ada hal lain yang perlu dipertimbangkan, misalnya seperti kos penyelenggaraan. Dan untuk kereta terpakai, kos penyelenggaraan biasanya akan lebih tinggi. Kereta baru, selain ada jaminan, selalu juga datang dengan tempoh servis berjadual secara percuma.

Dengan kereta terpakai, risiko ini perlu anda tanggung sendiri. Perlu juga membuat kajian dan sediakan wang atau simpanan untuk servis dan alat ganti, selain bayaran ansuran bulanan. Buat juga kajian tentang harga alat ganti dan kos servis untuk dapatkan gambaran sebenar. Misalnya, jika anda beralih daripada kereta nasional kepada kereta Continental terpakai, jangan terkejut jika kosnya lebih tinggi untuk digunakan.

“Kejuruteraan Jerman” dan “Ketahanan Jepun” bukanlah sekadar retorik, tetapi sebuah kereta ada harinya tentulah akan rosak juga nanti. Jadi, ukur baju di badan sendiri – jika anda tak mampu nak tanggung kos penyelenggaraan Porsche baru, maka begitu juga dengan penyelenggaraan Porsche terpakai, walaupun harga jualannya untuk unit terpakai jauh lebih murah. Kos penyelenggaraan adalah satu faktor yang lain.

Jika anda tinjau lebih mendalam, harga model yang sama bagi kereta terpakai boleh jadi sangat berbeza-beza. Memilih yang paling murah mungkin tidak bijak, kerana adalah lebih baik untuk anda berbelanja lebih sedikit untuk dapatkan kereta terpakai yang dijaga dengan elok, lengkap dengan sejarah penyelenggaraannya.

Perlu juga ambil tahu pasal cukai jalan. Ia tidak seperti nilai sesebuah kenderaan kerana ia tidak akan turun. Sebagai contoh, cukai jalan bagi Nissan Fairlady Z 3.5L akan kekal sama dan tinggi seperti awalnya, walaupun harganya ada yang di bawah RM50k. Memang ada cukai jalan untuk “kereta klasik” yang murah 80%, tetapi kereta itu perlulah melebihi usia 25 tahun dan banyak kriteria yang perlu ditepati.

Juga, sediakan sedikit wang untuk filem penapis haba. Filem penapis asal pada kereta terpakai mungkin telah ditanggalkan untuk mendapatkan kelulusan Puspakom, yang diperlukan untuk penukaran hak milik kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Yang terakhir, bank pula mungkin tidak terlalu bermurah hati tentang pinjaman bagi pembelian kereta terpakai. Pembiayaan sehingga 90% bagi tempoh sembilan tahun tidak akan ditawarkan, dan sebahagian besar kereta berusia 10 tahun ke atas sangat sukar untuk mendapatkan pinjaman. Jangkakan tempoh pembiayaan yang lebih pendek dan kadar faedah yang lebih tinggi untuk kereta terpakai.

Kereta “recon” – sama seperti model import rasmi?

Kereta “recon” ini banyak terdapat atas jalan dan dijual ketika ini. Model paling popular mungkin Toyota Alphard/Vellfire, Estima dan Wish, begitu juga dengan Toyota Harrier dan beberapa model Porsche dan Audi. Model-model dari BMW dan Mercedes-Benz juga ada yang datang dari saluran ini, walaupun dalam jumlah yang kecil – dengan sumbernya dari Jepun atau UK, pasaran dengan pemanduan sebelah kanan.

Satu perkara anda perlu tahu, pengeluar seperti Porsche, Mercedes-Benz malahan Toyota juga ada perisian spesifik atau melakukan penukaran alatan peranti yang unik untuk pasaran dengan cuaca panas seperti Malaysia. Cuaca kita berbeza dari tempat asal kereta berkenaan, dan perlukan sedikit talaan untuk membolehkannya berfungsi seperti sepatutnya. Dan, model-model yang dibawa menggunakan saluran rasmi ada dilengkapi semua ini.

Anda pasti maklum, beberapa tahun kebelakangan ini banyak panggilan semula kenderaan yang dilakukan oleh pengeluar. Sebahagiannya melibatkan penukaran alatan yang sangat penting seperti beg udara dan pam minyak. Dan, kereta “recon” mungkin turut terkesan. Walaupun sesetengah pengeluar akan tetap menukarkan alatan yang terlibat pada kereta “recon”, keutamaan sebenarnya diberikan kepada kereta import yang dijual secara rasmi.

Pemilik kenderaan yang diimport secara persendirian dan bukan melalui saluran pengeluar rasmi bagaimanapun tidak akan menerima makluman daripada pengedar sah – anda perlu mencari tahu dan juga jalan sendiri dan mungkin urusan itu tidaklah semudah bagi pemilik kenderaan yang diedarkan secara rasmi.

Lain-lain perkara yang perlu dipertimbangkan ialah tentang head unit atau sistem radio. Bagi kebanyakan kereta import/recon dari Jepun, ia biasanya datang dengan versi bahasa atau spesifikasi khusus pasaran domestik Jepun. Boleh untuk bertukar kepada head unit lain, tetapi anda akan kehilangan sistem atau perisian antara muka bersepadu yang datang bersekali dengannya.

Memeriksa bahagian luar kereta

Katakanlah anda telah membuat pilihan untuk membeli kereta terpakai dan menerima semua baik buruk seperti yang dijelaskan di atas tadi. Bergantung kepada usia kenderaan, bahagian badan luaran kereta terpakai juga boleh dijangka akan ada sedikit kemek dan calar. Itu perkara biasa, melainkan nasib anda betul-betul baik. Ambil kira juga kos untuk baik pulih calar dan kemek berkenaan (ketuk, atau cat semula) sekiranya anda tidak gemar lihat tanda-tanda itu.

Kebiasaannya juga, kereta terpakai telah diberi baik pulih oleh penjualnya. Cat mungkin baru, atau paling tidak dari segi penampilan telah diberikan kemaskini untuk kereta berkenaan tampil macam kereta baru. Anda boleh juga periksa penyudah cat yang diberikan untuk mengesan bahagian yang telah di “touch up”.

Warna tidak rata, ada bahagian yang terlebih berkilau dari bahagian lain dan sebagainya, untuk mengetahui keadaan sebenar kereta tersebut sebelum itu. Kalau warna keseluruhan nampak baru juga, dikhuatiri mungkin kereta pernah terbabit dalam kemalangan teruk. Periksa juga warna yang didaftarkan pada geran.

Bagi sesetengah orang pula, calar dan kemek bukanlah hal besar, tetapi bagaimana keadaan original sesebuah kereta terbabit dapat dikekalkan menjadi hal yang lebih diutamakan. Perhatikan juga jurang antara panel yang ada, semua ini boleh jadi petunjuk kepada keadaan sebenar kereta terpakai.

Periksa juga bahagian lampu depan dan belakang. Jika ada sisi yang lampunya nampak lebih baru, itu maksudnya ia sudah pernah ditukar, dan mungkin bukan unit OEM. Tapi, apa yang lebih penting, semua lampu harus berfungsi; kalau setakat perlu tukar bulb, itu perkara biasa. Yang dikhuatiri ialah masalah pendawaian. Jangan lupa, tengok juga cermin depan, jangan sampai ada yang keretakan.

Untuk tayar dan rim, jika kereta berkenaan datang dengan tayar yang bagus atau berkualiti, itu mungkin petanda yang baik bahawa pemilik sebelumnya pandai jaga kereta. Biasanya, tayar inilah yang terawal dikorbankan untuk kurangkan kos pemilikan.

Seeloknya, sebaik sahaja anda beli kereta terpakai, tukarlah satu set tayar yang baru, tambahan jika kereta itu sudah lama tak bergerak – takut tayar jadi keras atau merekah. Untuk rim, perhatikan sekiranya ada kerosakan akibat terlanggar pembahagi laluan, misalnya. Jika perlu, gantilah ikut selera rekaan yang diminati.

Satu lagi cara untuk menilai kereta terpakai, selalu cari kereta yang masih berada dalam keadaan asalnya. Makin kurang modifikasinya, itu lebih bagus. Melainkan anda memang mencari kereta yang telah siap dimodifikasi oleh pemilik sebelumnya. Jika ada bodykit, periksa juga biar semua titik sambungannya dibuat dengan kemas – tak ada lubang skru yang ditebuk pada badan kereta, misalnya.

Periksa bahagian dalaman

Ruang dalaman kenderaan juga sangat penting, kerana anda akan luangkan lebih banyak masa di dalam kabin ketika memandu. Periksa tempat duduk, pastikan fabrik atau kulit yang membaluti itu tidak koyak. Kesan haus pada material berkenaan adalah perkara biasa. Memang ada pilihan untuk gantikan semua balutan kerusi, tapi itu perlukan kos berasingan. Kalau anda bukan perokok, kena pastikan juga bau rokok tak terlekat pada ruang kabin, untuk keselesaan anda sendiri.

Begitu juga dengan bahagian lain yang lebih kerap akan anda sentuh, seperti pemegang pintu, tombol radio, stereng, tombol atau corong pendingin hawa, permukaan suis yang ada dan sebagainya. Jika ada yang rosak teruk, memang boleh diganti. Tetapi barang gantinya mungkin akan dijual dalam pakej dan tidak secara berasingan. Itu sudah tentu akan menjadikan kosnya mahal. Boleh cari di kedai potong? Boleh, tetapi itu bergantunglah kepad nasib, dan kosnya juga boleh jadi tinggi.

Lain-lain, pastikan juga peralatan seperti pengilap cermin, cermin kuasa, kunci sentral, kamera undur, sistem bunyi semuanya berfungsi dengan baik dan bahagian skrin paparan semuanya jelas. Laraskan juga kerusi – tak kira elektrik atau manual, – cermin sisi dan kedudukan stereng untuk lihat kalau-kalau ada yang tak kena.

Begitu juga dengan kereta yang ada bumbung kaca elektrik, atau boleh buka bumbung; cuba semuanya untuk tahu ada bahagian yang longgar atau melekat/reput. Terakhir, periksa bawah karpet dalam kabin dan juga but. Cari kalau-kalau ada kebocoran, kesan air bertakung atau karat – ini boleh beri petunjuk jika kereta itu pernah alami kerosakan akibat banjir.

Cuba pandu uji

Kemudian, agenda paling utama, pandu uji. Hidupkan enjin dan dengar bunyinya melahu – ia sepatutnya sangat sekata dan tak ada apa yang kedengaran seperti longgar. Kemudian, hidupkan pendingin hawa pula. Pastikan tak ada bau yang kurang menyenangkan, udara yang keluar itu sejuk serta aliran pada setiap corong ada dan sekata.

Pasangkan tali keledar, dan pandu. Mungkin anda sangat seronok, tapi ingat untuk kekal tenang. Cuba biasakan diri terlebih dahulu dengan maklum balas stereng, pedal minyak dan brek misalnya. Cuba rasakan dengan semua deria yang ada bagaimana karekter kereta terbabit, dalam keadaan perlahan mahupun laju.

Perhatikan maklum balas enjin dan penukaran gear transmisi. Sepatutnya semua itu lancar dan tiada senggukan atau gegaran berlebihan. Ini juga penting. Bagi perhatian untuk menilai kendaliannya; stereng, olengan badan, suspensi dan sebagainya. Jika semua rasa solid, anda mungkin sedang berada di jalan yang benar.

Bahagian-bahagian longgar dalam kabin juga boleh dikesan ketika anda memandu dipermukaan yang sedikit kasar. Bunyi bising dalam kabin yang mungkin kedengaran untuk sesebuah kereta terpakai adalah perkara biasa. Yang dikhuatiri adalah bunyi yang mencadangkan kepada masalah-masalah lain yang lebih serius.

Bertenang dan berfikir

Lepas pandu uji, bertenang dan kosongkan fikiran, jangan terbawa-bawa dengan rasa seoronok yang bukan-bukan. Anda telah periksa bahagian luaran dan dalaman dan boleh menerima sebarang kekurangan yang ada. Asalkan, pemanduannya rasa “betul”. Tapi, ada lagi perkara yang perlu dibuat sebelum keputusan diambil.

Buka hud depan dan periksa ruang enjin. Lihat tanda-tanda minyak bocor, jika ada. Janganlah pula harapkan ruang berkenaan bersih berkilau. Periksa juga lidi penanda untuk minyak enjin; apa yang anda patut nampak ialah bukan kesan yang terlalu likat-beku atau kesan air padanya.

Dengan hud terbuka, hidupkan sekali lagi enjin. Perhatikan semua bahagian yang bergerak dan bunyi yang keluar dari ruang berkenaan. Tekan pedal untuk rev enjin dan lihat sama ada ia akan kembali kepada keadaan melahu dengan timing yang stabil. Pada paparan meter, lihat kalau-kalau ada tanda amaran enjin atau yang lain-lain ada yang bermunculan atau sebaliknya.

Dan akhir sekali…

Minta untuk lihat buku servis lengkap kereta tersebut. Jika semua itu teratur dan butirannya lengkap, maka anda tahu kereta itu dijaga dengan baik oleh pemilik sebelumnya. Itu juga bermaksud, jika ada apa-apa masalah sebelum ini, ia telah dikesan awal dan diperbetulkan sebelum ia melarat.

Kemudian periksa jarak perbatuan yang tercatat pada log servis dan juga odometer – sepatutnya yang pada odometer tidak boleh kurang daripada apa yang tercatat dalam log servis. Bagi kereta yang masih dalam tempoh jaminan, log servis ini akan mengesahkan bahawa kereta itu dihantar ke pusat servis sah – dan hal ini sangat penting. Bagi pengesahan elektronik terhadap perbatuan kereta dan juga kod kerosakan, jika ada, cari port On-Board Diagnostic (OBD) yang ada pada kebanyakan kereta moden. Pasangkan pembaca OBD2 untuk dapatkan maklumat.

Kurang lebih, semua inilah yang perlu anda lakukan untuk buat pemeriksaan terhadap kereta terpakai. Anda boleh juga kemudiannya untuk memanfaatkan servis seperti mycarinfo.com.my untuk pastikan kereta tersebut bukan kereta curi atau pernah terlibat dengan kemalangan teruk. Untuk ini, anda perlukan nombor casis (VIN) kereta terbabit, dan ada bayaran sekitar RM50 yang akan dikenakan untuk perkhidmatan tersebut.

Bagi kereta “recon”, laman seperti scrut.my atau recond.my boleh menyedikan anda laporan lelongan sebenar bagi kenderaan (dari Jepun dan UK) secara percuma. Ini akan menjadi sumber rujukan yang penting untuk mengetahui sejarah sesebuah kereta.

Perhatikan bil akhir

Dah buat keputusan dan beli. Kemudian, untuk tukar hak milik kenderaan, pengesahan dari Puspakom perlu diperoleh. Biasanya, yuran bagi pemeriksaan B5 Puspakom (RM35, dan tambahan RM100 untuk khidmat van dilokasi anda) adalah tanggungjawab penjual, begitu juga dengan caj JPJ.

Jika berurusan dengan pengedar kereta terpakai pula, halnya mungkin sedikit berbeza. Akan ada bayaran-bayaran tersembunyi lain yang bermunculan – misalnya caj untuk memproses dan cap ibu jari. Ini mungkin akan menjadi lebih tinggi berbanding harga akhir yang dipersetujui untuk kereta itu sendiri. Jangan lupa, jika khidmat runner digunakan, itu pun kos juga. Semua kos terselindung ini boleh mencecah ribuan ringgit, dan ia tidak akan ditampung dalam pinjaman. Ini harus diambil kira. Cuma yang jimat sedikit, untuk kereta terpakai, tak ada SST melainkan ia kereta “recon” yang belum berdaftar.

Satu lagi, jangan lupa. Anda perlukan insurans dan cukai jalan baru untuk kereta. Anda boleh serahkan kepada pengedar untuk uruskan, tetapi jika dibuat sendiri akan jadi lebih murah – cuma akan makan banyak masa dan leceh.

Jangan takut..

Semua yang kami nyatakan ini bertujuan untuk menjadi semacam satu senarai semak kepada anda yang mungkin berkira-kira untuk membeli kereta terpakai. Jangan takut, kereta terpakai juga ada banyak kelebihan tersendiri dan berbaloi dengan nilai wang yang dibelanjakan. Semoga ada manfaatnya.

Untuk membeli kenderaan, tak kira yang baru atau terpakai, ia bukanlah hanya sekadar mencari pilihan yang betul semata-mata. Ini kerana, kereta bagi kebanyakan orang adalah lebih daripada sekadar alat untuk bergerak. Kereta ada jiwanya sendiri, yang akan membuatkan anda rasa selamat dan yakin. Ia merupakan satu pilihan yang turut melibatkan emosi, bukan hanya untuk memenuhi senarai yang kontang.

Cari kereta yang benar-benar menarik perhatian anda, dari segenap aspek keberadaannya. Kerana ia akan kekal dengan anda untuk satu tempoh yang lama; disamping memudahkan urusan, ia juga akan jadi teman setia dalam menjalankan urusan harian. Selamat mencari dan membeli.