Aston Martin DB5 Goldfinger Continuation – unit pertama kereta James Bond keluaran semula siap

Aston Martin DB5 Goldfinger Continuation – unit pertama kereta James Bond keluaran semula siap

Pada tahun 2018, Aston Martin telah mengumumkan satu program penghasilan semula kereta ikonik James Bond DB5 dipanggil sebagai DB5 Goldfinger Continuation, untuk 25 unit dan setiap satunya dijual pada harga 2.75 juta pound (RM14.8 juta). Kini, kereta pertama “Job 1” sudah pun keluar dari kilang dan menjadi DB5 pertama yang dihasilkan selepas 55 tahun.

Harga yang sangat tinggi ini adalah disebabkan kualiti pengeluaran yang diambil penting, dengan setiap satunya mengambil masa 4,500 jam untuk dihasilkan. Kesemua 25 unit kereta keluaran khas ini akan dibuat di kilang asal DB5 iaitu Aston Martin Works di Newport Pagnell.

Untuk menghasilkan semula DB5 Goldfinger ini, Aston Martin bekerja rapat dengan EON Productions, iaitu syarikat yang mengeluarkan filem James Bond, demi memastikan setiap perincian kereta James Bond pada tahun 1964 tersebut dapat dihasilkan semula secara sama.

Aston Martin DB5 Goldfinger Continuation – unit pertama kereta James Bond keluaran semula siap

Menurut Aston Martin, setiap 25 buah kereta baru ini adalah “kereta keluaran semula asli terperinci sama seperti DB5 yang dilihat dalam filem.” Ia juga akan datang dengan “modifikasi serta peningkatan khas untuk memastikan kualiti serta ketahanan tahap tertinggi,” jadi pelanggan akan mendapat kereta yang lebih berkualiti berbanding unit pada tahun 60-an.

Struktur casis besi asli DB5 masih digunakan pada kereta ini manakala panel badannya pula menggunakan aluminium dan digerakkan oleh enjin enam silinder NA 4.0 liter. Enjin ini datang dengan tiga karburetor SU serta penyejuk minyak, dan mampu menghasilkan 290 hp untuk dihantar ke roda belakang melalui transmisi manual lima kelajuan ZF dan LSD mekanikal.

Pada bahagian kawalan, tetapan rack and pinion tanpa bantuan kuasa digunakan untuk stereng manakala brek pula menggunakan cakera Girling-type. Suspensi terdiri daripada spring coilover, penyerap dan anti-roll bar di hadapan, serta gandar hidup dengan lengan radius dan penyambung Watt di belakang.

Lebih istimewa pada kereta ini adalah alat pengintip yang dipasang padanya, termasuk sistem pengeluaran asap dan minyak di belakang, nombor plet yang boleh ditukar (tiga pasang), senapang mesingan palsu berkembar di hadapan, penghadang peluru di belakang, pemukul di hadapan dan belakang, pengguris tayar palsu serta panel bumbung bahagian penumpang yang boleh dicabut (pilihan tambahan).

Perincian pada kereta ini diambil kira sehingga ke dalam, di mana ia dilengkapi dengan skrin peta pengesan radar, telefon di pintu pemandu, butang penggerak di tombol gear, suis di perehat tangan dan konsol tengah, ruang menyimpan senjata tersembunyi di bawah tempat duduk serta alat kawalan jauh untuk aksesori tersebut.

Penghantaran untuk kereta istimewa ini akan bermula pada separuh tahun kedua 2020 dan Aston Martin menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak sah untuk dipandu atas jalan biasa dan pemasangan aksesori yang disebutkan adalah bergantung kepada peraturan di negara pelanggan yang membelinya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required