Jaguar Land Rover Malaysia telah melancarkan F-Pace “edisi terhad” baharu, yang menampilkan enjin yang lebih prestasi 2.0 liter Ingenium turbo empat-silinder. Hanya 20 unit sahaja yang ditawarkan kepada pelanggan dan didatangkan dengan tiga varian, bermula model asas Prestige, disusuli dengan R-Sport Mid-Spec dan R-Sport Hi-Spec.

Difahamkan barisan F-Pace ini bukannya bagi menggantikan model sedia ada yang masih ditawarkan di sini. Tetapi bagi mereka yang inginkan lebih kuasa, model edisi terhad ini adalah pilihan yang lebih sesuai.

Enjin Ingenium pada F-Pace “edisi terhad” ini mampu menghambur kuasa hingga 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Angka tersebut mewakili 50 PS dan 35 Nm peningkatan berbanding F-Pace yang dilancarkan pada April 2018, enjin yang sama tetapi dengan talaan bagi kuasa sebanyak 250 PS dan 365 Nm. Sama seperti F-Pace, sistem pacuan semua-roda dan 8HP45 sumber-ZF turut didatangkan secara standard.

Bagi aspek prestasi, F-Pace 300 PS ini boleh mencapai pecutan dari sifar ke 100 km/j dalam 6.1 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 233 km/j – versi 250 PS mengambil masa 6.8 saat untuk mencapai pecutan tersebut.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem Configurable Dynamics, yang membolehkan pemandu memilih antara mod Normal dan Sport bagi respons pendikitan, kotak gear dan stereng. Manakala Adaptive Dynamics pula memodifikasi redaman yang lebih berkualiti dengan menganalisis aktiviti pecutan, belokan, pendikitan dan pedal brek bagi mengoptimakan larasan suspensi, dan ia hanya didatangkan untuk varian R-Sport Hi-spec.

Kit standard yang disenaraikan bagi ketiga-tiga varian termasuklah tailgate berkuasa dengan fungsi bebas-tangan, sistem infotainmen Touch Pro 10-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, Bantuan Kekal Lorong dan Pemantauan Kondisi Pemandu.

Bagi varian ases, Prestige, ia didatangkan dengan roda aloi “Style 5031” lima-jejari 20-inci dengan kemasan Grey Diamond Turned, lampu utama LED, kawalan suhu dwi-zon, upholstery kulit, sistem pemantauan tekanan tayar, tuil untuk tempat duduk belakang dan tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dengan larasan kuasa.

Manakala R-Sport Mid-spec ditambah dengan lampu utama LED adaptif dengan bantuan lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED, sistem pencahayaan ambien untuk kabin dan rel bumbung hitam berkilat. Sementara bagi R-Sport Hi-spec menerima tambahan Adaptive Surface Response (AdsR), yang mampu mengesan perbezaan antara permukaan untuk cengkaman yang lebih maksimum dengan mengubah larasan enjin dan brek, bersama roda 22-inci.

Selain pemilihan varian yang diingini, pelanggan juga boleh memilih salah satu daripada enam warna pilihan untuk luaran, termasuklah Fuji White, Santorini Black, Eiger Grey, Portofino Blue, Firenze Red dan Indus Silver. Harga atas jalan bermula pada RM436,420.82 tanpa insurans untuk Prestige, yang telah pun dimasukkan dengan 50% potongan bagi cukai jualan bagi model CBU seperti yang diumumkan olehj kerajaan sehingga akhir 2020.

Bagi R-Sport Mid-spec pula ditawarkan pada harga RM470,212.97, sementara R-Sport Hi-spec pula berharga RM485,433.81. Kesemua varian yang dijual turut didatangkan dengan program “Jaguar Care” termasuk waranti lima-tahun, servis percuma lima-tahun dan tiga-tahun bantuan tepi jalan.

Tags: