Untuk tahun 2020, model Wildtrak 4×4 untuk pasaran Malaysia sudah mula masuk sejak bulan Jun lalu. Perubahan yang diberikan pada Wildtrak 2020 ini sebenarnya agak sedikit, dan anda perlu melihat dengan lebih teliti untuk menyedari apa yang dikemaskini.
Untuk bahagian luaran, Wildtrak 2020 ini menerima rim 18-inci baharu dengan rekaan enam-jejari berkembar serta lampu hadapan baharu yang tampil dengan lensa projektor empat segi. Bukan hanya rekaan, lampu tersebut kini menggunakan teknologi bi-LED yang lebih terang berbanding sistem xenon sebelumnya.
Bahagian dalaman pula, Wildtrak kini dilengkapi port USB baharu berhampiran dengan cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dashcam. Kemaskini terakhir adalah pada pilihan warna badan di mana dua warna baharu iaitu Arctic White dan Meteor Grey bagi menggantikan Frozen White dan Magnetic. Warna Saber dan Absolute Black masih lagi ditawarkan.
Ciri lain masih lagi sama dengan Wildtrak sebelum ini. Ia dijana oleh enjin 2.0 liter EcoBlue turbodiesel, dan versi 4×4 menampilkan dua pengecas turbo membolehkan ia menghasilkan 213 PS dan tork maksima 500 Nm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan bersama fungsi manual SelectShift.
Sistem keselamatan dan bantuan pemanduan juga tidak berubah di mana ia tampil dengan amaran pelanggaran hadapan, sistem brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, amaran keluar laluan, cruise control adaptif, dan juga fungsi parkir selari automatik.
Dengan berberapa perincian baharu yang ditampilkan ini, Ford Ranger 2.0L Wildtrak 4×4 Automatic 2020 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM150,388. Berbanding versi sebelumnya, model kemaskini berkenaan adalah RM5,500 lebih mahal.