Hyundai Sonata di Malaysia akan dijual dari RM20xk

Hyundai Sonata di Malaysia akan dijual dari RM20xk

Minggu lalu, kita telah dimaklumkan bahawa Hyundai Sonata 2020 akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia. Dalam perkembangan terbaru pula, Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) mula memberi petunjuk kepada sedan segmen D generasi kelapan itu, sempena pembukaan untuk ambilan tempahan model berkenaan.

Harganya akan bermula pada RM20X,XXX bagi Sonata terbaru ini nanti, yang merupakan model CBU yang diimport dari Korea Selatan. Ini bukanlah murah, tetapi perkembangan dalam tahun-tahun kebelakangan ini dalam segmen D sedan menyaksikan tanda harga di bawah RM150k untuk segmen berkenaan sudah lama ditinggalkan. Pada 2018, Toyota Camry terbaru mula diperkenalkan pada harga RM190k, antara pemula bagi harga tertinggi bagi segmen berkenaan ketika itu.

Honda Accord terbaru pula yang dilancarkan awal tahun ini kemudiannya melangkaui angka tersebut dengan harga jualan RM196k. Toyota Camry 2.5L tersebut merupakan unit CBU dari Thailand, sementara Honca Accord 1.5T adalah unit CKD tempatan. Sepanjang tempoh pengecualian SST hingga 31 Disember nanti, masing-masing kini dijual pada harga RM188,763 dan RM187,360.

Hyundai Sonata DN8 di Malaysia dijanakan oleh enjin baharu 2.5 liter Smartstream MPI empat-silinder petrol. Unit ini memberikan kuasa hingga 180 hp pada 6,000 rpm dan tork 232 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam-kelajuan. Angka ini setara dengan Camry 2.5L NA; cuma kurang 4 PS dan 3 Nm.

Penampilan Sonata baru ini juga kelihatan lebih matang dan menarik berbanding model sebelumnya. Ia merupakan model pertama yang mengetengahkan pendekatan rekaan Sensuous Sportiness oleh Hyundai, ibarat gaya ala coupe empat-pintu YF generasi ke-enam.

Di depan, gril Cascading yang lebih lebar dan agresif menjadi wajah utamanya, disambungkan dengan lampu utama LED trapezoidal yang nipis melunjur ke atas sehingga gerbang roda hadapan. Jalur bonet krom yang lebih berkarakteristik ini juga mempunyai fungsi baharu untuk menyembunyikan lampu nyalaan siang LED.

Hyundai Sonata di Malaysia akan dijual dari RM20xk

Dari segi ukuran dimensi, Sonata terbaru ini lebih besar berbanding model sebelumnya. Ia berukuran 4,900 mm panjang dan 1,890 mm lebar, iaitu 45 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar. Malah jarak antara rodanya juga lebih panjang sebanyak 35 mm, kini 2,840 mm. Bagaimana pun, ia lebih rendah sebanyak 30 mm iaitu pada 1,445 mm.

Di dalam, Sonata baru ini dibentangi papan pemuka yang lebih nipis, dengan konsol tengah yang agak tinggi dan skrin sesentuh infotainmen apungan. Unit paparan kelihatan lebih menarik dengan skim warna dua tona, dengan papan pemuka dan tempat duduk balutan kulit berona perang. Skrin sesentuh lebih kecil, bersaiz lapan-inci ditampilkan berbanding unit paparan 10.25 inci untuk pasaran lain, tetapi masih menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required