Hyundai Sonata generasi kelapan akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dalam satu varian iaitu 2.5 Premium. Model yang diimport penuh dari Korea Selatan ini dijual pada harga RM206,888 (termasuk kadar SST penuh), tetapi untuk 50 unit awal, ia akan dijual pada harga pengenalan RM189,888 (SST 50%).
Pada aspek rekaan, Sonata adalah model pertama yang menggunakan konsep rekaan Sensuous Purity, dengan menampilkan gril Cascading besar, bukaan udara pada hujung bampar, lampu utama LED penuh automatik serta DRL LED yang bersambung dengan jalur krom pada bonet. Apabila DRL ini tidak menyala, ia nampak seperti krom dan dibuat menggunakan lubang yang diukir dengan laser.
Pada bahagian belakang, ia mendapat lampu LED yang disambung pada bahagian tengah dengan jalur yang menyala, sirip di atas lampu, lampu brek ketiga rapat ke bumbung, spoiler ducktail bersepadu, tulisan Sonata serta diffuser. Rim menggunakan unit 18 inci yang dibalut tayar Continental PremiumContact 6 bersaiz 235/45.
Ada enam warna yang ditawarkan untuk Sonata baru ini iaitu White Cream, Shimmering Silver, Nocturne Grey (seperti gambar), Oxford Blue, Midnight Black dan Flame Red. Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) juga menyediakan pilihan tiga skema warna bahagian dalam dan ia bergantung kepada warna badan yang dipilih.
Warna White Cream, Nocturne Grey dan Midnight Black akan mendapat tema dua tona Camel di bahagian dalam (seperti yang ditunjukkan pada gambar) manakala Shimmering Silver pula datang dengan warna dalam Greige dua tona bersama tempat duduk kulit berwarna putih. Pelanggan yang memilih Sonata warna hitam akan mendapat warna dalam sama ada Oxford Blue atau Flame Red.
Pada bahagian dalam, model ini menggunakan panel instrumen digital 12.3 inci, head-up display yang terpapar pada cermin hadapan, skrin sesentuh Display Audio bersaiz lapan inci di tengah dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengawal pendingin hawa automatik dua zon, brek parkir elektronik serta penukar gear jenis butang. Turut disediakan adalah pengecas Qi tanpa wayar dengan fungsi penyejuk.
Suis pilihan mod memandu diberikan standard, dan anda boleh memilih antara mod Smart, Comfort, Eco dan Sport. Kelengkapan lain adalah seperti bumbung panoramik, cermin pandang belakang elektrokromik, tempat duduk larasan kuasa lapan arah dengan fungsi memori, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat arah, corong pendingin hawa belakang serta dua soket USB di hadapan dan satu di belakang.
Melihat kepada dimensi, Sonata mencatat panjang 4,900 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,445 mm dan jarak roda 2,840 mm. Ruang barangan belakang berkapasiti 510 liter (buka secara manual) dan tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40. Kereta ini juga tidak mempunyai tayar kecemasan simpanan dan diganti dengan kit membaiki tayar.
Untuk enjin, sedan segmen D ini digerakkan oleh unit empat silinder petrol MPI 2.5 liter Smartstream berkemampuan 180 PS pada 6,000 rpm dan 232 Nm tork pada 4,000 rpm, dan digabungkan bersama transmisi automatik enam kelajuan (berserta pedal penukar gear di stereng) untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan. Selain enjin ini, terdapat juga versi suntikan terus GDI berkuasa 193 PS dan 245 Nm tork, yang dipasarkan di negara lain, tetapi kami diberitahu Malaysia tidak menerimanya kerana kualiti bahan api di sini.
Pada bahagian keselamatan, Sonata baru mendapat enam beg udara secara standard, ABS, EBD, ESC, Hill Start Assist dan Vehicle Stability Management. Malangnya, model pasaran Malaysia tidak dilengkapi pakej Hyundai SmartSense, yang bermakna ia tidak mempunyai Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control (cruise control biasa masih ada), Lane Departure Warning atau Lane Keep Assist.
Walaupun begitu, ia masih dilengkapi dengan kamera pandangan 360 darjah serta Blind Spot Monitor yang menggunakan dua kamera di bahagian tepi untuk menghantar video kepada panel instrumen apabila lampu penunjuk arah dinyalakan. Ini adalah satu fungsi seperti Honda LaneWatch.
Setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun atau 300,000 km, dan anda boleh melayari CarBase.my untuk melihat spesifikasi lebih lengkap atau membandingkannya dengan model-model lain yang berada dalam pasaran sekarang.