Aprilia RSV4 1100 Factory dan Tuono V4 1100 Factory 2020 kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan masing-masing RM159,000 dan RM121,000. Dua model ini memberi saingan terus kepada Ducati Panigale V4S, dan Streetfighter V4S, yang masing-masing dijual pada harga RM172,000 dan RM145,900.

Menggunakan warna Atomico Racer Black, RSV4 1100 Factory dilengkapi dengan sistem suspensi semi aktif Ohlins Smart EC 2.0, yang terdiri daripada fork Ohlins NIX di hadapan dan monoshock Ohlins TTX di belakang. Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin V4 pada model ini adalah 217 hp pada 13,200 rpm dan 122 Nm tork pada 11,000 rpm.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah model replika perlumbaan, RSV4 1100 Factory dipasang dengan mudguard, panel tepi, pelindung ekzos, winglet serta pelindung tangki yang dibuat daripada gentian karbon, dan dijadikan lengkap dengan ekzos titanium Akrapovic serta rim aluminium forged. Berat keseluruhan adalah 199 kg dan ia datang dengan angkup brek Brembo Stylema di hadapan.

Sama seperti RSV4 1100 Factory, Tuono V4 1100 Factory juga ditawarkan dalam warna Atomica Racer Black, dan suspensi semi aktif Ohlins diberikan secara standard. Kuasa bagaimanapun diturunkan sedikit untuk menjadi 175 hp pada 11,000 rpm dan 121 Nm tork pada 9,000 rpm.

Angkup brek hadapan Tuono V4 1100 Factory menggunakan unit Brembo M50 empat piston, bersama master cylinder radial Brembo. Kedua-dua model ini didatangkan dengan sistem elektronik penuh yang termasuk Traction Control, Wheelie Control, Launch Control serta quickshifter.

GALERI: Aprilia RSV4 1100 Factory

GALERI: Aprilia Tuono V4 1100 Factory