Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

Minggu lalu, Hyundai Elantra 2021 ini sudah pun didedahkan sepenuhnya, termasuk perincian spesifikasinya, dalam satu majlis pra-tonton bersama media. Dan hari ini, ia telah pun dilancarkan secara rasmi dalam satu majlis digital dan teka-teki berkaitan harganya telah pun terjawab.

Hyundai Elantra 2021 generasi ketujuh yang merupakan unit CBU dari Korea Selatan ini hanya ditawarkan dalam satu varian sahaja untuk pasaran Malaysia akan dijual pada harga RM158,888 bagi tahun ini (dengan pengecualian SST hingga 31 Disember nanti). Ia juga datang dengan jaminan lima-tahun/300,000 km dan servis percuma bagi 50,000 km.

Hyundai Elantra 2021 ini menggunakan enjin baru petrol Smartstream G1.6 MPi (1.6 liter) NA DVVT dengan Dual Port Injection System yang menghasilkan kuasa sebanyak 123 PS (121 hp) pada 6,300 rpm dan tork 154 Nm pada 4,500 rpm. Enjin ini menggunakan kepala silinder jenis DOHC, bersama sistem pemasa injap boleh ubah berterusan (CVVT), sistem suntikan multi-silinder serta modul pengurusan haba enjin yang baru.

Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

Pacuannya disalurkan ke roda depan menerusi Smartstream Intelligent Variable Transmission (IVT) dengan lapan-kelajuan maya. Menurut Hyundai, IVT menggunakan rantai sawat (chain belt) berbanding push belt. Ini disifatkan mampu memberi respon lebih baik serta mengurangkan kehilangan kuasa dari enjin (sebanyak 5-8%) dan lebih menjimatkan minyak (sehingga 4.2%).

Gandingan enjin dan transmisi berkenaan membolehkan Elantra 2021 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.4 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 196 km/j. Manakala anggaran penggunaan bahan api kombinasi pula sekitar 5.6 liter bagi setiap 100 km. Ia juga hadir dengan tiga mod pemanduan, iaitu Normal & Smart, Eco dan Sport.

Sebagai perbandingan, Elantra generasi keenam terdahulu ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Nu NA empat-silinder dengan janaan kuasa 152 PS dan tork 192 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik enam-kelajuan. Untuk casis, model terbaru ini dilengkapi dengan topang MacPherson di depan dan palang torsion di belakang. Manakala sistem brek pula menggandingkan cakera berliang di hadapan dan cakera solid di belakang.

Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

Kereta ini memiliki dimensi berukuran 4,675 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,430 mm tinggi dengan jarak roda 1,245 mm. Ini menjadikannya 55 mm lebih panjang dan 25 mm lebih lebar berbanding model sebelumnya. Malah jarak rodanya juga bertambah 20 mm. Namun, ia lebih rendah 20 mm. Manakala kapasiti bagi ruang but pula mencecah 474 liter.

Bahasa rekaan yang digunakan pada model ini agak ranggi dan impresif. Sekali pandang, ia umpama model coupe empat-pintu yang sporty. Ia menampilkan pendekataan rekaan parametric dynamic yang diterjemahkan menerusi Sensuous Sportiness.

Menurut Hyundai, garisan bentuk tiga segi pada badannya mungkin bakal dianggap taboo dalam rekaan automotif. Namun ia sebenarnya mewakili emosi baru dengan paparan inovasi geometrikal. Ia begitu jelas kelihatan bermula pada gril bahagian hadapan yang hadir dengan konsep paten batu permata. Ditambah pula dengan gabungan lampu utama dwi LED (Low & High Projection) yang nampak garang, bersama air curtain dan lampu isyarat membelok yang agak tersorok di dalam gril.

Senada dengan bahagian hadapan, sisi profilnya juga jelas kelihatan dengan karakteristik parametric dynamic dengan garisan berinspirasikan batu pertama yang melingkar sehingga ke hujung belakang. Hyundai turut meminjam elemen fastback untuk penggayaan bahagian tepi dan belakang. Menyerlahkan lagi gayanya, ia menampilkan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 225/45R17 Kumho Ecsta PS71.

Untuk bahagian belakang, Elantra masih mengekalkan gaya elegan empat-pintu dengan elemen ducktail pada bahagian bonetnya agak tinggi, membuatkan pandangan belakangnya agak sedikit pelik. Bahagian ini diberikan lampu kombinasi LED, lampu H-tail yang seperti dua boomerang bersambungan bersama logo Hyundai dan lencana Elantra yang terpisah oleh lampu tersebut.

Menjengah bahagian dalamnya pula, pelanggan mempunyai pilihan sama ada mahukan bentangan warna hitam atau pun kelabu cerah untuk keseluruhan kabinnya. Jika memilih rona hitam, bentangan kabinnya tampil dengan tiga kemasan termasuk kulit berwarna hitam, tricot dan natural leather yang menampakkan gaya lebih elagan. Manakala jika memilih kemasan berwarna kelabu cerah, kemasan kulit dan woven diberikan.

Dalam kemasan ini, jangan terkejut sekiranya mendapati kemasan panel pada pintu tempat duduk penumpang hadapan berbeza daripada tempat duduk pemandu dan penumpang belakang. Ini bukan disebabkan kilang Hyundai tersalah pasang pintu, sebaliknya itu bertujuan untuk memberikan rasa mempunyai ruang tersendiri buat pemandu, yang “terpisah” dari bahagian kabin yang lain.

Antara ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa (larasan manual untuk penumpang hadapan), pemegang cawan yang boleh dilaras ketinggiannya, tempat duduk hadapan dengan fungsi haba dan aliran udara, kawalan keselesaan suhu pintar untuk tempat duduk pemandu, paparan kluster Supervision TFT LED berwarna sepenuhnya 10.25-inci, dan skrin ‘terapung’ lapan-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan Bluetooth multi-connection bersama pengesan suara, brek parkir elektronik dengan fungsi menahan automatik, pendingin hawa automatik dwi-zon dengan tiga kawalan bagi blower, corong udara untuk tempat duduk belakang, soket kuasa dan tiga pengecas USB dan pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

Elantra 2021 ini turut diberikan ciri pintar tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, smart trunk untuk bahagian bonet, empat penderia parkir hadapan dan empat lagi untuk parkir belakang, dan Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop & Go.

Untuk ciri keselamatan, ia diberikan ABS dengan EBD, sistem bantuan brek, sistem kawalan cengkaman (TCS), kawalan kestabilan elektronik (ESC), pengurusan sistem kenderaan (VSM), kawalan mula mendaki (HAC), cagak Isofix dan enam beg udara (bahagian pemandu, penumpang hadapan, sisi dan tirai).

Hyundai Elantra 2021 dilancarkan di M’sia — generasi ketujuh, satu varian, 1.6L Smartstream IVT, RM158,888

Bukan setakat itu sahaja, Elantra 2021 turut diberikan kelengkapan Hyundai SmartSense yang merangkumi Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Forward Collision-Avoidance Assist-Junction (FCA-JT) dan Blind Spot Collision-Avoidance Assist (BSC).

Selain itu, ia turut menampilkan Driver Attention Warning (DAW), Leading Vehicle Departure Alert (LVDM), Safe Exit Warning (SEW), Rear Cross Traffic Collision-Avoidance (RCCA) dan Rear Occupant Alert (ROA). Elantra 2021 diberikan empat pilihan warna luaran – Polar White, Electric Shadow, Amazon Grey dan Intense Blue.

Hyundai Elantra 2021 di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Learn more:

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required