BMW iX – perincian lanjut SUV elektrik, kuasa boleh mencecah 500 PS, jarak gerak sehingga 600 km

BMW iX – perincian lanjut SUV elektrik, kuasa boleh mencecah 500 PS, jarak gerak sehingga 600 km

Pada bulan November tahun lepas, BMW telah menyatakan hala tuju masa hadapan mereka dengan mendedahkan SUV elektrik iX. Tidak banyak informasi teknikal yang didedahkan pada waktu itu, tetapi kini mereka telah menyiarkan beberapa lagi spesifikasi penting untuk dua varian yang akan disediakan selepas pelancaran pada hujung tahun ini.

Antaranya, untuk varian asas xDrive40, kuasa yang mampu dihasilkan boleh mencecah sekitar 240 kW (320 PS) manakala jarak gerak pula lebih 400 km mengikut kitaran WLTP. Pergi pula kepada varian xDrive50, anda akan mendapat 370 kW (500 PS) dan jarak gerak lebih 600 km.

Seperti yang dapat dilihat pada namanya, kedua-dua model ini menggunakan pacuan semua roda, dengan motor elektrik yang dipasang pada setiap gandar. Model yang lebih murah dengan satu motor elektrik dan pacuan dua roda boleh dijangka diperkenalkan kemudian. Varian xDrive40 boleh memecut 0-100 km/j dalam masa lebih sedikit daripada enam saat, sementara xDrive50 pula boleh melakukan pecutan sama di bawah masa lima saat. Laju maksimum kedua-duanya dihadkan secara elektronik pada 200 km/j.

Penggerak elektrik generasi kelima ini menyediakan peningkatan ketumpatan kuasa sebanyak 30% dan mempunyai faktor kecekapan 93%, yang mana menurut BMW adalah lebih tinggi berbanding pesaingnya. iX menggunakan motor DC brushless dan bukannya motor permanent magnet synchronous, sekaligus menggantikan bahan yang diambil dari alam semula jadi kepada komponen magnetik bermula dari proses pengeluaran. Syarikat ini juga menjanjikan lengkung tork yang lebih luas berbanding kenderaan elektrik lain.

BMW iX – perincian lanjut SUV elektrik, kuasa boleh mencecah 500 PS, jarak gerak sehingga 600 km

Penggunaan kuasa berada pada kadar 20 kWh bagi setiap 100 km untuk xDrive40 dan 21 kWh bagi setiap 100 km untuk xDrive50. Setiap varian mempunyai kapasiti bateri yang berlainan, iaitu lebih 70 kWh untuk xDrive40 dan lebih 100 kWh untuk xDrive50. Unit lithium ion penyejukan cecair padanya mempunyai ketumpatan kuasa 20% lebih tinggi berbanding unit generasi sebelumnya, dan didatangkan bersama jaminan lapan tahun atau 160,000 km.

Anda boleh mengecas iX sama ada menggunakan soket tiga pin biasa (mengambil masa yang lebih lama) ataupun wallbox AC 11 kW (mengambil masa bawah 11 jam untuk xDrive50 dan bawah lapan jam untuk xDrive40).

Turut disediakan adalah pilihan pengecas pantas DC, di mana untuk xDrive40 ia dihadkan kepada maksimum 150 kW, dan mengambil masa 10 minit untuk memberikan jarak gerak 90 km. Pemilik xDrive50 pula boleh mengecas sehingga 200 kW, dan boleh mendapat jarak gerak 120 km selepas dicas dalam tempoh yang sama. Melalui cara ini juga, bateri kedua-dua model boleh naik daripada 10% kepada 80% dalam masa 40 minit.

BMW juga telah membuat pernyataan yang besar berkenaan cara pengeluaran lestari yang digunakan pada iX. Syarikat ini telah menggunakan sumber secara beretika, dan ia dianggap sebagai proses pembangunan penting kenderaan, bersama penggunaan bahan kitar semula serta tenaga boleh diperbaharui.

Pengeluaran bateri kenderaan elektrik telah menjadi aspek yang dikhuatiri oleh pencinta alam sekitar dan mereka memberi perhatian kepada bahan yang digunakan. Disebabkan itu, BMW telah mengurangkan penggunaan kobalt di dalam katod kepada kurang 10% dan menghentikan bekalan daripada Republik Demokratik Congo (DRC), yang mempunyai sejarah pencabulan hak asasi manusia di dalam pelombongan kobalt.

Pada kereta itu sendiri, sehingga 50% aluminium dan sehingga 60 kg plastik pada iX adalah bahan kitar semula sementara bahagian dalam tidak lagi menggunakan kemasan krom (kecuali lambang BMW). Spesifikasi Clear & Bold pula menambah lagi penggunaan kayu yang ditanam secara berkelanjutan, dan ia disahkan oleh Lembaga Pengurusan Hutan (FSC).

Di Jerman, iX akan dijual bermula 77,300 euro (RM378,800) bagi xDrive40, dan 98,000 euro (RM480,300) untuk xDrive50; BMW memberitahu harga permulaan ini sama seperti X5 yang menggunakan enjin petrol. Ada yang berminat? BMW Malaysia juga sudah mula membuka pendaftaran minat terhadap model ini di dalam laman web mereka, dan ia dikatakan bakal dilancar tidak berapa lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required