Subaru telah mengumumkan produksi untuk kilang Yajima di Gunma Prefacture digantung bermula 10 hingga 27 April disebabkan kekurangan cip semi-konduktor, di mana masalah ini turut menjejaskan kebanyakan pengeluar kereta. Fasiliti Yajima mengeluarkan Legacy, Outback, Impreza, XV dan Forester.

Menurut jenama Jepun tersebut, salah satu kilang pengeluarannya akan dihentikan operasi dalam tempoh 13 hari bekerja, sementara yang lain bakal ditutup selama lapan hari. Nikkei Asia melaporkan penutupan tersebut dijangka mengurangkan jumlah pengeluaran Subaru sebanyak 10,000 unit. Syarikat ini juga berkata kesan pendapatan bagi pengurangan produksi tersebut “masih belum ditentukan”.

Kesemua pengeluaran di kilang Yajima akan beroperasi semula pada 10 Mei selepas cuti Golden Week dan Subaru menjangkakan sumber bagi cip terbabit akan pulih semula selepas itu. Walau bagaimana pun, kekurangan bekalan cip tersebut tiada kaitan dengan kebakaran di kilang pembuatan cip Renesas Electronic yang terbakar pada 19 Mac lalu, di mana ia telah menyebabkan Toyota dan Nissan mengurangkan pengeluarannya.

Sementara itu, kilang utama Subaru (Subaru-cho), yang mengeluarkan Levorg, Impreza, XV, WRX dan BRZ, akan terus beroperasi seperti biasa, manakala kilang Oizumi pula memproduksi enjin dan transmisi.