Audi RS Q e-tron – jentera offroad pacuan dua motor elektrik, 680 PS, bakal beraksi dalam Rali Dakar 2022

Audi RS Q e-tron – jentera offroad pacuan dua motor elektrik, 680 PS, bakal beraksi dalam Rali Dakar 2022

Audi Sport secara rasminya telah memulakan ujian terhadap Audi RS Q e-tron sebelum ia membuat penampilan pertama semasa musim Rali Dakar terbaru yang akan bermula Januari 2022. Melalui jentera ini, Audi meletakkan sasaran untuk menjadi pengeluar pertama yang bertanding untuk kejuaraan keseluruhan menggunakan penggerak kuasa elektrik, menentang jentera enjin biasa yang lain.

Rali Dakar adalah satu perlumbaan yang cukup sukar, dengan ia boleh berlangsung selama dua minggu dan setiap perlumbaan harian boleh melibatkan jarak sehingga 800 km (atau lebih). “Itu adalah satu jarak yang cukup jauh. Apa yang kami buat tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia adalah satu cabaran muktamad bagi penggerak elektrik, kata Andreas Roos yang bertanggungjawab untuk projek Dakar bagi Audi Sport.

Ya, RS Q e-tron adalah sebuah jentera offroad elektrik. Tetapi disebabkan tiada tempat mengecas di padang pasir tempat mereka berlumba, Audi telah memasang enjin TFSI pada jentera ini untuk mengecas bateri 50 kWh (berat 370 kg) yang digunakan. Perincian enjin pembakaran dalaman ini tidak didedah tetapi ia diberitahu boleh beroperasi dengan cekap pada tahap rpm antara 4,500 hingga 6,000 rpm.

Audi RS Q e-tron – jentera offroad pacuan dua motor elektrik, 680 PS, bakal beraksi dalam Rali Dakar 2022

Sistem pemacu elektrik pada jentera ini menggunakan dua unit motor-generator (MGU) yang diambil daripada kereta lumba Audi e-tron FE07 Formula E. Setiap satunya diletakkan pada setiap gandar dan menurut Audi, ubah suai yang dibuat hanyalah sedikit sahaja. Kuasa maksimum adalah 500 kW (680 PS), tetapi ia boleh dilaras mengikut peraturan.

Menurut ketua bahagian pembangunan sukan permotoran Audi Sport, Stefan Dreyer, pek bateri yang digunakan adalah rekaan sendiri bersama satu rakan kongsi. “Sebagai jurutera, kami melihat potensi pembangunan setiap komponen. Tetapi bagi sistem penggerak, kami telah mencapai kecekapan sistem sehingga 97% di dalam Formula E. Tidak banyak lagi yang boleh dipertingkat,” kata beliau.

“Keadaan adalah berbeza dengan pengurusan bateri dan tenaga. Di sinilah terdapat potensi pembangunan lebih besar untuk kenderaan elektrik secara umumnya. Apa yang kami pelajari daripada projek Dakar yang mencabar ini akan disalurkan kepada model produksi masa hadapan. Seperti biasa, kami juga bekerjasama secara rapat dengan rakan di bahagian pembangunan kereta jalanan biasa untuk projek ini,” tambah Dreyer.

Menurut Audi, RS Q e-tron cuma memerlukan satu gear ke hadapan dan mereka sedang membangunkan perisian sendiri untuk pengagihan tork. Melaluinya, mereka dapat mengubah tetapan differential tengah secara bebas, seterusnya membuang tetapan differential mekanikal biasa berserta propeller shaft, dan menjimatkan ruang serta berat kenderaan.

Roos berkata: “Jadual projek ini sangat padat dan mencabar. Sejak dimulakan, ia sudah mengambil masa 12 bulan. Kami terpaksa memulakan pembangunan meskipun peraturan untuk kenderaan pacuan tenaga alternatif masih belum ditetapkan lagi. Semua pembangunan ini juga berlangsung waktu pandemik. Apa yang telah dicapai oleh pasukan sekarang adalah unik. Kemunculannya nanti satu waktu yang istimewa bagi semua.”

Pengarah urusan sukan permotoran Audi Sport, Julius Seebach pula berkata: “Audi adalah jenama pertama yang memenangi perlumbaan Le Mans 24 Hours dengan penggerak elektrik. Sekarang, kami mahu masuk pula dalam era baru dengan Rali Dakar, sambil menguji dan terus membangunkan teknologi e-tron di dalam keadaan ekstrem.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required