Pengeluar cip di Malaysia hadapi kesukaran bagi penuhi permintaan, jejas produksi automotif global

Pengeluar cip di Malaysia hadapi kesukaran bagi penuhi permintaan, jejas produksi automotif global

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kilang pengeluaran cip semikonduktor yang cukup banyak – sekitar 50 kilang komponen tersebut berada dalam negara dan kapasiti pembungkusan dan ujian yang berada di Malaysia adalah mewakili 13% dari kapasiti keseluruhan global, serta 7% semikonduktor di seluruh dunia perlu ke Malaysia terlebih dahulu kerana pelbagai sebab sebelum dieksport keluar.

Jadi apabila dunia sedang berhadapan dengan masalah bekalan cip semikonduktor kerana permintaan terhadap komponen tersebut meningkat, berikutan permintaan terhadap telefon pintar dan juga kelengkapan kesihatan yang semakin tinggi dalam musim pandemik, ia diburukkan lagi dengan masalah kilang-kilang di Malaysia yang tidak boleh beroperasi kerana tertakluk di bawah Pelan Pemulihan Negara bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19 dalam negara, kata seorang eksekutif industri dalam laporan The Edge.

Kilang syarikat-syarikat seperti STMicroelectronics dan Infineon (salah satu pengeluar semikonduktor yang terbesar di dunia) dalam negara kini tidak boleh beroperasi, dan ia turut menjejaskan produksi untuk sektor automotif di seluruh dunia.

Kerana masalah kilang cip di Malaysia yang tidak boleh beroperasi ini telah menyebabkan kilang Ford di Jerman yang menghasilkan Fiesta telah tergendala. Toyota dan Nissan juga terpaksa mengurangkan jumlah produksi mereka sementara kilang Infineon tidak boleh beroperasi buat sementara waktu. Nio dan juga Tesla juga terjejas sama.

Pengeluar cip di Malaysia hadapi kesukaran bagi penuhi permintaan, jejas produksi automotif global

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Wong Siew Hai memberitahu akhbar berkenaan bahawa banyak pengeluar kenderaan telah mengecilkan pesanan mereka tahun lalu kerana menjangkakan permintaan yang lebih rendah, jadi pengeluar cip di Malaysia telah mengalihkan peruntukan berkenaan kepada sektor lain dalam industri elektronik.

“Apabila tiba bulan Januari, industri automotif sedar mereka mahukan semula kapasiti berkenaan namun perancang fabrikasi semikonduktor sudah tidak ada kapasiti untuk mereka,” kata Wong. Walau bagaimanapun beliau berpendapat bahawa masalah ini akan mula reda menjelang akhir tahun ini kerana pekerja-pekerja yang telah divaksin sepenuhnya mula kembali bekerja.

“Jangkaan berdasarkan data yang saya lihat, situasi ini sepatutnya akan semakin baik, tetapi kami masih tidak dapat memenuhi sepenuhnya permintaan,” kata Wong dan menambah permintaan dilihat semakin meningkat sejak hujung tahun lalu. “Kekangan yang kami hadapi sejak Jun dan awal Julai kini mula menurun, dan lebih volum telah dihantar kerana kami sekarang dibenarkan beroperasi pada peratusan lebih tinggi.”

Apabila ditanya apa impak yang diterima selepas sekatan pergerakan yang dilanjutkan, Wong berkata bahawa kerugian yang perlu ditanggung dengan mudah mencecah berbilion ringgit. Eksport elektrikal dan elektronik bernilai US$92 bilion (RM386 bilion) adalah mewakili 39.4% dari jumlah keseluruhan eksport Malaysia pada 2020.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required