Selain dari pasta dan piza, Itali dikenali sebagai negara yang banyak mengeluarkan kereta-kereta eksotik berkuasa tinggi – Ferrari, Lamborghini, Maserati, Pagani dan lain-lain adalah antara contoh besar jenama-jenama yang berasal dari negara berkenaan.
Jadi menjelang pengharaman enjin pembakaran dalaman yang dicadangkan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada 2035 kelak, Itali dilaporkan sedang berbincang dengan pertubuhan tersebut bagi mengecualikan supercar dalam peralihan berkenaan.
Menurut menteri untuk transisi ekologi Itali, Roberto Cingolani dalam laporan Bloomberg, negaranya bukan menentang pengharaman enjin pembakaran dalaman tersebut, sebaliknya menyatakan bahawa supercar merupakan industri nic dan sangat kecil jumlahnya berbanding produksi untuk jenama-jenama arus perdana lain yang menyukarkan mereka untuk beralih sepenuhnya kepada teknologi elektrik.
“Kereta-kereta ini perlukan teknologi istimewa dan ia memerlukan bateri untuk peralihan,” kata Cingolani. “Satu langkah yang penting adalah Itali kini telah mendapat autonomi bagi memproduksi bateri-bateri berprestasi tinggi,” katanya bagi menjelaskan bahawa negaranya kini telah menetapkan untuk melancarkan “program kilang-giga” untuk produksi bateri secara besar-besaran.
Menurut Bloomberg lagi, cadangan untuk mengharamkan penjualan kereta baharu dengan enjin pembakaran dalaman pada 2035 oleh EU ini masih lagi dalam peringkat awal, dan ia kini sedang dibincangkan dalam Parlimen Eropah. Proses tersebut mungkin mengambil masa selama dua tahun, kerana berberapa negara memohon berberapa perubahan bagi melindungi syarikat dan industri mereka.
Isnin lalu seorang jurucakap EU enggan untuk memberikan komen terhadap apa yang dinyatakan oleh menteri Itali berkenaan, dan menyatakan bahawa “semua pengeluar kereta perlu menyumbang terhadap pengurangan” terhadap emisi, lapor Bloomberg lagi.
Manakala presiden Persatuan Pengeluar Automobil Eropah, Oiver Zipse pula menyatakan bahawa beliau menyokong usaha Itali kerana “situasi khas” yang perlu dihadapi oleh pembuat supercar. “Untuk pengeluar kecil, iaitu pihak yang hampir tidak memainkan peranan dalam keseluruhan emisi dalam gambaran yang lebih besar, ada hujah yang baik untuk mengambilkira pengecualian ini, kata Zipse ketika berlangsungnya IAA Munich Motor Show.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.