Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

Selain dari range anxiety atau kegusaran sama ada kuasa elektrik yang dibekalkan oleh bateri cukup atau tidak untuk sampai ke destinasi, jumlah masa yang diperlukan untuk mengecaj bateri adalah satu lagi faktor mengapa kereta elektrik masih lagi belum menjadi pilihan orang ramai sebagai medium pengangkutan utama.

Buat masa sekarang, teknologi paling canggih yang ada di dunia iaitu pengecaj pantas DC Tahap 3 (DCFC) dengan kuasa 350 kW sehingga 400 kW sudah pun mampu untuk memenuhkan bateri sehingga 80% dalam masa sekitar 20 minit.

Walaupun teknologi dilihat sangat menakjubkan, ia masih lagi tidak sepantas proses mengisi semula bekalan bahan api petrol atau diesel ke dalam tangki yang secara purata mengambil masa 7 minit, termasuk proses membuat bayaran. Namun dengan teknologi bateri yang semakin canggih, adakah proses mengecaj kereta elektrik akan dapat dibuat dalam masa sesingkat kita mengisi minyak?

Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

Menurut Johan Hellsing, pakar prinsipal Pergerakan dan Tenaga di China Euro Vehicle Technology (CEVT) iaitu pusat inovatif milik Zhejiang Geely Holding Group, beliau percaya bahawa teknologi bagi menjadikan proses caj kereta elektrik sepantas mengisi tangki bahan api tidak akan tercapai.

“Pendapat peribadi saya adalah saya tak rasa kita semakin hampir (kepada teknologi itu). Masih banyak kesukaran yang perlu kami hadapi, tetapi untuk mencapai tahap seperti mengisi bahan api kereta, saya tak rasa kita akan mencapainya. Ia adalah sangat susah dan terlampau mahal,” katanya kepada paultan.org dalam satu sesi temuramah baru-baru ini.

“Pola fikirnya sudah tentu anda mahukan agar ia boleh dicaj sepantas anda mengisi minyak, dan memang ada beberapa teknologi bateri yang mungkin boleh mencapai sekitar 10 minit untuk caj penuh, tetapi ia agak mahal. Mungkin ada kes di mana mustahil bagi grid untuk menangani kuasa sebegitu dalam masa yang pendek, jadi anda mungkin perlu mempunyai simpanan tenaga lokal, bermaksud ia memerlukan kos tambahan,” tambah Hellsing.

Bateri kereta elektrik tidak akan dapat dicaj sepantas kita mengisi petrol dalam masa terdekat – pakar CEVT

Beliau menyatakan bahawa kelebihan untuk mengecaj dengan sangat pantas kini semakin kecil, terutamanya di persekitaran urban, di mana kebanyakkan orang akan mengecaj kereta pada waktu malam menerusi pengecaj biasa. Untuk perjalanan jarak jauh, tempoh mengecaj 15 hingga 20 minit yang sedang diusahakan oleh beberapa pengeluar mungkin boleh digunakan, kerana tempoh tersebut juga membolehkan pemandu berehat serta meregangkan kaki dan tangan.

“Jika anda sedang dalam perjalanan jarak jauh dan perlu mengecaj di tengah perjalanan, ia mungkin masa yang baik untuk berehat juga,” katanya. Walau bagaimanapun, ini hanyalah pendapat peribadi Hellsing, dan kita sendiri masih lagi tidak tahu bagaimana teknologi ini boleh berkembang pada masa hadapan bukan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required