Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

Pandemik Covid-19 mengubah kita dalam banyak perkara. Bagi bekas pelajar Batch 2001 Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, mereka sepatutnya menganjurkan pertemuan bekas pelajar pada tahun 2021. Walaubagaimanapun, acara seperti itu, yang melibatkan perkumpulan ramai orang dirasakan tidak sesuai dalam waktu pandemik.

Bagi setiap batch, peluang menganjurkan pertemuan bekas pelajar ini hanya akan berlaku sekali sahaja, dan pada tahun yang berikutnya, ia akan diberi kepada batch lain. Disebabkan itu, mereka tidak mahu sekadar membiarkan 2021 berlalu tanpa menganjurkan sesuatu buat sekolah yang mereka sayangi.

Sebelum pandemik, apa yang biasanya dilakukan oleh bekas pelajar adalah satu hujung minggu seperti karnival di sekolah, dengan pelbagai acara yang bukan sahaja boleh membenarkan bekas pelajar sekolah yang telah wujud sejak tahun 1957 ini bertemu kembali, tetapi juga aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar dan guru.

Bagi Batch 2001, semua ini terpaksa diubah, dan salah satu projek yang diusahakan adalah membaik pulih bas kecil/coaster yang sudah berkhidmat lama di sekolah itu; sejak tahun 80-an lagi. Coaster ini telah memberi banyak kenangan kepada ramai pelajar di STAR dan hanya dihentikan khidmatnya pada tahun 2018 kerana sudah terlalu uzur.

Pada waktu ia masih tegap, inilah kenderaan yang digunakan untuk pelajar pergi ke klinik, lawatan belajar, kunjungan ke sekolah lain, pertandingan sukan dan pelbagai lagi. STAR adalah sebuah sekolah berasrama penuh lelaki, jadi apabila ada peluang keluar dari sekolah dengan menaiki coaster ini, ia pastinya menjadi satu pengalaman yang diingati (apatah lagi apabila dapat melawat ke sekolah yang ada pelajar perempuan).

Projek restorasi ini dimulakan pada penghujung tahun 2019, di mana coaster ini telah ditarik dari Ipoh, ke sebuah bengkel di Subang untuk baik pulih, bermula dengan bahagian mekanikal. Enjin diesel asal berkapasiti 3,200 cc kini diganti dengan unit 3,400 cc sementara transmisi pula masih lagi unit lima kelajuan sama seperti asal.

Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

Setelah bahagian mekanikal berfungsi baik, semua bahagian lain coaster ini pula dicabut, sehingga hanya tinggal rangka. Seperti kebiasaan bagi sebuah kenderaan yang telah berusia lebih 40 tahun, ia menampakkan karat-karat namun tidak terlalu teruk. Proses sandblasting digunakan untuk membuang karat-karat ini, sementara bahagian lantai pula keseluruhannya diganti baru.

Tempat duduk semuanya masih menggunakan unit asal, tetapi span telah diganti dan dibalut dengan kulit tiruan berwarna merah. Walaupun sebelum ini boleh menempatkan sehingga 22 orang di dalamnya, tempat duduk yang boleh dilipat di bahagian tengah telah dibuang sekaligus menjadikan kapasitinya kini hanya 14 orang.

Bagi menambah sedikit ciri moden di dalam coaster ini, ia telah dipasang dengan sistem infotainmen berasaskan Android, dengan skrin kawalan sesentuh di bahagian hadapan, serta skrin tambahan di atas bumbung untuk penumpang di belakang. Melengkapkan sistem ini adalah pembesar suara berserta equalizer.

Dalam keadaan asal, coaster ini tidak mempunyai sistem pendingin hawa dan apa yang boleh dilakukan oleh penumpang untuk mendapatkan angin hanyalah membuka tingkap. Keadaan itu, selepas restorasi masih lagi sama – memasang sistem pendingin hawa dengan kelengkapan seperti compressor, condenser dan blower memerlukan ubah suai yang melibatkan pemotongan rangka – tetapi ia telah ditambah baik dengan pemasangan beberapa kipas kecil.

Bahagian badan coaster ini dicat dengan skema warna sama seperti asal, termasuk logo serta nama sekolah, tetapi yang menjadikannya ia nampak lebih ranggi adalah pemasangan rak bumbung buatan khas berserta tangga. Bukan setakat itu, bampar hadapan juga nampak lebih garang dengan adanya kangaroo bar – mengingatkan kepada modifikasi campervan di luar negara.

Disebabkan oleh pelbagai kekangan, terutamanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang dua tahun lepas, restorasi coaster ini mengambil masa agak lama dan hanya siap Januari lalu. Tanpa melengahkan masa lagi, selepas itu, pelajar Batch 2001 STAR terus mengadakan roadtrip dari Subang, Selangor ke Ipoh, Perak untuk menyerahkan coaster ini kepada sekolah.

Tak dapat anjur reunion, bekas pelajar restore coaster tahun 80-an untuk diberi semula kepada sekolah

Perjalanan mereka tidak terus melalui lebuh raya, sebaliknya melalui jalan lama dengan beberapa persinggahan di tempat-tempat ikonik di Perak seperti menara condong Teluk Intan serta bekas tapak lombong bijih timah Tanjung Tualang. Menjadikannya lebih istimewa, mereka turut menggunakan semula khidmat individu yang sudah berpuluh tahun menjadi pemandu di STAR, iaitu Pak Abu.

Sama seperti dulu, Pak Abu tidak merungut sepatah pun meskipun perjalanan melibatkan banyak hentian dan agak lama, malah beliau gembira dapat memandu semula coaster tersebut yang kini sudah kembali elok. Apabila sampai di Ipoh, majlis penyerahan coaster ini diadakan secara ringkas bersama wakil guru di sekolah.

Perjalanan seperti ini menambah lagi memori mereka bersama coaster tersebut dan jika dulu mereka masih remaja belasan tahun, sekarang pula masing-masing sudah berusia dengan ada yang sudah tidak berambut, menjadi bapa dan lambang kebahagiaan (perut buncit) semakin terserlah.

Secara keseluruhannya, projek restorasi coaster ini memakan belanja sekitar RM80k dan bagi orang biasa, ia mungkin sesuatu yang tidak mudah diterima akal. Mungkin ramai yang akan mengatakan lebih baik jika ia digunakan untuk membeli van atau bas baru, tetapi bagi pelajar Batch 2001 STAR, coaster ini dianggap sebagai sesuatu yang mempunyai nilai sentimental dan tidak patut dilupuskan begitu sahaja.

Sekarang, apabila ia sudah bangkit semula, mereka berharap ia dapat kembali memberi khidmat kepada pelajar, dan lebih penting lagi, meninggalkan memori yang boleh diceritakan kepada anak cucu. Pendapat anda macam mana? Tidakkah ini satu projek yang menarik dan unik?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • AzmanSalleh on Feb 26, 2022 at 7:22 am

    Syabas Starian 2001…once a Starian always a Starian…Shina Shina Star…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required