Khabar ketibaan Aprilia SR GT 200 ke dalam negara memang sudah ada kedengaran sebelum ini, tetapi sekarang ia semakin hampir menjadi sah apabila pengedar motosikal jenama itu di Pulau Pinang dilihat sudah mula membuka tempahan untuk skuter tersebut melalui media sosial.

Daripada maklumat yang kami terima, SR GT 200 dijangka tiba pada bulan Jun atau Julai tahun ini (untuk jualan kepada umum) dan harga awal yang diletakkan adalah sekitar RM21k untuk harga asas, dan sekitar RM23k untuk harga atas jalan termasuk insurans.

Melihat kepada pasaran luar, SR GT 200 adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin satu silinder 174 cc SOHC, mampu menghasilkan kuasa 17.4 hp pada 8,500 rpm dan 16.5 Nm tork pada 7,000 rpm. Transmisi adalah unit automatik CVT.

Selain rekaan Itali, skuter ini juga menawarkan tunggangan berkualiti dengan barangan seperti suspensi Showa (fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang), padanan rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS serta tangki bahan api sembilan liter.

Kelengkapan lain yang tersedia adalah panel meter jenis digital, lampu LED, pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk 25 liter, sistem start/stop serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Aprilia MIA (pilihan tambahan).