Aprilia RSV4 1100 Factory tiba di Malaysia – RM170k

Dilancarkan kepada dunia Mac tahun lalui, Aprilia RSV4 1100 Factory kini sudah berada di Malaysia dengan harga jualan RM169,900. Harga ini menunjukkan peningkatan RM10,000 berbanding RM159,900 yang ditetapkan pada tahun 2020 bagi model sebelumnya, dan tidak termasuk insurans serta cukai jalan.

Antara yang baru bagi model tahun 2022 ini adalah pakej aerodinamik yang dipertingkat, tork sedikit lebih tinggi serta engine braking yang boleh dilaras. ECU Magnetti Marelli 11MP baru menyediakan tiga mod Cornering ABS, serta pemetaan enjin dan mod tunggangan yang baru untuk penunggang.

Bagi mod tunggangan, ada enam pilihan disediakan dengan tiga daripadanya adalah untuk jalan biasa (Street, Sport dan User), dan tiga lagi untuk dalam litar (Race, Track 1 dan Track 2).

Penambahbaikan aerodinamik yang dibuat pada motosikal ini telah memberikan peningkatan kepada tekanan dalam kotak udara sebanyak 7%, sementara bagi penunggang pula, perlindungan daripada udara telah meningkat 11%. Semua panel badan termasuk winglet telah dibangunkan melalui teknologi dinamik berkomputer.

Suspensi RSV4 1100 Factory menggunakan unit semi aktif Ohlins Smart EC 2.0 bersama steering damper elektronik yang dua mod (semi aktif dan manual), dan penunggang boleh memilih tiga pemetaan untuk suspensi. Daripada tiga yang disediakan itu, mod A1 adalah khas untuk tayar slick dan dalam litar, A3 untuk jalan biasa dan A2 berada di tengah-tengah.

Kuasa untuk RSV4 1100 2022 datang daripada enjin empat silinder V 1,099 cc, berjumlah 217 hp pada 13,000 rpm dan 125 Nm tork pada 10,500 rpm. Sistem brek adalah daripada Brembo, dengan angkup Stylema empat piston di hadapan, satu piston di belakang serta sistem ABS Bosch 9.1 MP.