Pengedar rasmi motosikal Aprilia di Malaysia, Didi Group hari ini melancarkan dua model baru untuk pasaran iaitu skuter SR GT 200 dan Tuareg 660. Bagi SR GT 200, dua versi disediakan, iaitu Standard dan Sport, dengan harga masing-masing RM19,900 dan RM20,900.
Beza di antara dua versi SR GT 200 ini cumalah grafik dan warna, di mana versi Standard ditawarkan dalam warna Aprilia Black, Infinity Blue dan Street Grey, bersama rim berwarna hitam, manakala versi Sport ditawarkan dalam warna Street Gold, Red Raceway dan Iridium Grey, dengan rim berwarna merah.
SR GT 200 digerakkan oleh enjin satu silinder SOHC 174 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, digabungkan bersama transmisi jenis CVT untuk menghasilkan 17.4 hp pada 8,500 rpm dan 16.5 Nm tork pada 7,000 rpm.
Di bahagian hadapan, skuter ini menggunakan fork teleskopik 33 mm (tanpa pelarasan), cakera brek 220 mm dan rim 14 inci yang dibalut tayar 110/80 sementara di belakang terdapat dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban, cakera brek 220 mm serta rim 13 inci dengan tayar 130/70. Sistem ABS hanya disediakan untuk roda hadapan (one-channel).
Kelengkapan lain yang disediakan pada SR GT 200 adalah termasuk panel meter jenis digital, lampu LED, pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk 25 liter, sistem start/stop serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Aprilia MIA (pilihan tambahan).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.