Ditunjukkan kali pertama dalam versi produksi semasa pameran EICMA tahun lepas, BMW F450 GS kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Hadir dalam versi Trophy paling tinggi, ia cuma ditawarkan dalam satu warna iaitu biru metalik dan disiarkan dengan harga jangkaan RM40,000.
Menurut BMW, ini adalah sebuah model serba baru, yang dibangunkan dengan fokus kepada pengendalian cemerlang, prestasi kuat, ketahanan dan ketercapaian. Reka bentuknya mengikuti konsep GS yang lain termasuk dengan pencahayaan lampu berbentuk X di hadapan, manakala casis pula terdiri daripada kerangka tiub besi.
Menggerakkan F450 GS ini adalah enjin dua silinder selari 420 cc, yang dihasilkan dengan kerjasama TVS, mampu menghasilkan kuasa sehingga 48 hp pada 8,750 rpm (bersesuaian untuk lesen kelas A2 di Eropah) dan tork 43 Nm pada 6,750 rpm.
Enjin ini membawa keunikan dengan menggunakan tetapan crankpin offset untuk crankshaft 135 darjah bersama satu syaf pengimbang, yang dikatakan dapat memberi karekter lebih memuaskan sambil mengurangkan gegaran. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter dan diberitahu dapat membawa motosikal ini untuk perjalanan sehingga 350 km dengan sekali isian.
Transmisi adalah unit enam kelajuan, yang didatangkan terus dengan Shift Assistant Pro (quickshifter) dan ia juga ditambah dengan satu lagi fungsi, iaitu Easy Ride Clutch (ERC) yang mana tidak memerlukan tarikan tuil tangan apabila bukan sahaja mahu menaik dan menurunkan gear, tetapi juga sewaktu mahu berhenti dan memulakan perjalanan.
Dalam keadaan standard, F450 GS datang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan, dibalut tayar tanpa tiub 100/90 dan 17 inci di belakang, dibalut tayar 130/80. Walaubagaimanapun, rim spoked disediakan sebagai pilihan tambahan jika pemilik mahukan sesuatu yang lebih lasak.
Jarak gerak untuk suspensi hadapan dan belakang adalah sama, iaitu 180 mm, hasil daripada penggunaan fork USD Kayaba 43 mm dan monoshock Kayaba dengan pelarasan pra beban dan serapan. Memandangkan model yang dibawa ke Malaysia adalah versi Trophy, fork yang digunakan disediakan dengan larasan mampatan dan lantunan.
Pada bahagian brek, F450 GS menggunakan tetapan cakera tunggal 310 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup Bybre satu piston di belakang. Selain ABS Pro yang boleh berfungsi sewaktu mengambil selekoh, sistem keselamatan turut dibantu oleh Dynamic Brake Control (DBC) dan Dynamic Brake Light.
Secara keseluruhannya ada empat mod tunggangan disediakan pada F450 GS Rally ini, iaitu Rain, Road, Enduro dan Enduro Pro. Dalam mod Enduro Pro, selain wheelie control dan ABS belakang yang ditutup, penunggang juga boleh melaras tahap ABS, DTC dan maklum balas pendikit. Melengkapkan ciri keselamatannya adalah Dynamic Traction Control (DTC) Engine Drag Torque Control.
Untuk sistem sambungan, F450 GS menggunakan skrin TFT 6.5 inci yang bukan sahaja memaparkan informasi penting, tetapi juga boleh dihubungkan kepada telefon pintar (navigasi ConnectedRide disediakan sebagai pilihan tambahan).
Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C, manakala berat keseluruhan adalah 178 kg. Tinggi tempat duduk F450 GS Rally adalah 845 mm dan jika ini tidak bersesuaian, pemilik boleh mendapatkan tempat duduk yang lebih rendah, iaitu 830 mm atau lebih tinggi, 865 mm yang disediakan sebagai pilihan tambahan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

















