Ford Everest Platinum dilancar di Malaysia — 3.0L V6 dan 2.0L diesel, dari RM349k; Sport 2.0L dikemaskini

Ford Everest Platinum dilancar di Malaysia — 3.0L V6 dan 2.0L diesel, dari RM349k; Sport 2.0L dikemaskini

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) hari ini telah melancarkan secara rasmi model Ford Everest Platinum. Versi terbaru SUV yang menggunakan asas yang sama dengan Ranger ini membuat penampilan sulung di acara Sime Motors MotorExpo 2026, yang sedang berlangsung di XOX Arena, The Arch Galeries, Kuala Lumpur. Dua varian diperkenalkan untuk varian ini: Ford Everest Platinum 3.0L V6 (RM430,888) dan Ford Everest Platinum 2.0L (RM348,888).

Dengan pengenalan ini, Everest Platinum menjadi model teratas dalam barisan lima varian ketika ini — selain Sport, Trend, Titanium dan Wildtrak — untuk pasaran Malaysia. Dua kapasiti enjin akan ditawarkan untuk varian Platinum ini, dengan yang paling tinggi ialah unit 3.0L V6 diesel yang menjana sebanyak 250 PS (246 hp) pada 3,250 rpm dan 600 Nm dari 1,750 hingga 2,250 rpm. Enjin 3.0 liter ini digandingkan dengan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan 10R80 oleh Ford sendiri, yang menampilkan ciri e-Shifter.

Varian flagship ini juga dilengkapi dengan ciri ElectroMagnetic Transfer Case (EMTC) canggih, sistem pacuan roda sepenuh masa, membolehkanagihan tork pintar untuk memaksimumkan cengkaman, kestabilan dan kawalan ketika dalam keadaan pemanduan yang mencabar. Juga tersedia ialah enam mod pamanduan untuk dipilih — Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand. Ford Everest Platinum 3.0L menggunakan rim 21-inci dengan profil tayar 275/45 R21.

Ford Everest Platinum 2.0L pula dilengkapi dengan enjin turbodiesel 2.0 liter turbo diesel turbo tunggal yang sama digunakan untuk varian Sport. Unit ini menjana sebanyak 170 PS pada 3,500 rpm dan 405 Nm dari 1,750 rpm hingga 2,500 rpm. Ini digandingkan dengan unit transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan dan Electronic Shift-On-The-Fly (ESOF) sebagai sistem pacuan separuh masa untuk memberikan keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan keyakinan dalam pemanduan. Varian Platinum 2.0L ini menggunakan rim 20-inci dengan profil tayar 255/55 R20.

Ford Everest Platinum dilancar di Malaysia — 3.0L V6 dan 2.0L diesel, dari RM349k; Sport 2.0L dikemaskini

Apa yang membezakan varian Platinum ini, yang pada asasnya seperti versi “mewah” yang diposisikan lebih tinggi di atas Wildtrak? Antara peningkatan yang diberikan oleh varian ini termasuklah panel paparan instrumen 12.4-inci yang lebih besar (Sport, Trend dan Titanium menampilkan unit TFT lapan-inci) dan kerusi balutan kulit dengan kemasan khusus untuk Platinum.

Varian 3.0 liter juga diberikan ciri luaran khusus seperti rekaan gril tersendiri dengan skrip ‘Platinum’ hitam di atas hud dan lencana di pintu hadapan dan pintu belakang. Kedua-dua versi Platimum juga didatangkan dengan pemijak sisi warna perak kesat.

Di dalam, ada ciri seperti tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa 10-arah dengan tiga tetapan memori untuk bahagian pemandu, sistem bunyi Bang & Olufsen dengan 12-pembesar suara turut membezakan varian ini. Terdapat juga lencana ‘Platinum’ di tempat duduk hadapan, pintu glove box, pelapik kaki serta pintu untuk mengingatkan anda versi mana yang anda gunakan.

Kelengkapan lain yang ada untuk varian ini termasuklah lampu hadapan LED matriks dengan lampu hadapan adaptif/lampu tinggi automatik dan lampu nyalaan siang bentuk C hinggalah skrin sentuh utama menegak 12-inci (sama seperti Wildtrak dan Titanium). Sistem SYNC 4A mengendalikan semua perkara yang berkaitan dengan komunikasi, hiburan dan maklumat — sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta pengecasan tanpa wayar juga ada tersedia.

Ford Everest Platinum dilancar di Malaysia — 3.0L V6 dan 2.0L diesel, dari RM349k; Sport 2.0L dikemaskini

Dari segi keselamatan, Everest Platinum antaranya menampilkan tujuh-beg udara (depan, sisi hadapan, tirai sisi dan lutut), kawalan menurun bukit, bantuan mendaki bukit dan penghindaran daripada terbalik serta kamera 360-darjah dan sensor parkir hadapan/belakang. Selain itu, varian ini juga menerima sistem pemantauan tekanan tayar.

Bagi kit bantuan pemandu, sistem ADAS-nya terdiri daripada fungsi seperti kawalan pelayaran adaptif dengan fungsi Stop-and-Go dan ke tengah lorong, AEB dengan pengesanan pejalan kaki, amaran perlanggaran hadapan dengan sokongan brek, amaran keluar lorong, sistem maklumat titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan brek, bantuan brek undur serta bantuan stereng evasif.

Ford Everest Platinum 3.0L hadir dengan pilihan warna badan Acacia Green, Meteor Grey dan Absolute Black, sementara bagi model Platinum 2.0L pula ada tambahan warna Arctic White.

Selain varian Platinum, SDAC turut memperkenalkan Ford Everest Sport 2.0L terbaru yang diberikan kemaskini. Dengan sistem janaan yang sama seperti unit 2.0 liter untuk Platinum, varian Sport ini menampilkan rekaan gril baru, lampu utama LED dengan DRL bentuk C serta kemasan hitam untuk ruang dalamannya. Ia menggunakan rim 20-inci dengan profil tayar 255/55 R20.

Ford Everest Platinum dilancar di Malaysia — 3.0L V6 dan 2.0L diesel, dari RM349k; Sport 2.0L dikemaskini

Antara peningkatan dan kemaskini terbaru yang diberikan kepada varian Sport ini ialah penggunaan transmisi automatik SelectShift 10-kelajuan (sebelum ini automatik enam-kelajuan), enam mod pemanduan untuk pemanduan off-road, sistem pacuan semua roda separuh masa dan warna badan baru Command Grey (sebelum ini hanya untuk Ranger Raptor).

Di dalam, kerusi dua-tona rekaan baru turut menghiasi kabin varian ini untuk memberikan suasana yang lebih dinamik. Sistem pacuan empat roda separuh masa dengan pilihan mod pemanduan menyediakan kemampuan pemanduan yang pelbagai. Ford Everest Sport 2.0L datang dengan pilihan warna badan Command Grey, Lightning Blue, Arctic White dan Absolute Black. Harga jualan bagi Ford Everest Sport 2.0L 2026 ini ialah RM316,888.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required