Kawasaki ZX-10R 2026 kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan ditetapkan pada RM114,600 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Ia ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Lime Green/Blue 24 demi mengekalkan identiti perlumbaan Kawasaki.
Model utama Kawasaki dalam segmen superbike berkapasiti satu liter ini menggunakan enjin empat silinder sebaris 998 cc yang kini mematuhi piawaian emisi Euro 5 tanpa menjejaskan prestasi berbanding generasi terdahulu. Enjin berprestasi tinggi itu menghasilkan kuasa maksimum 203 PS pada 13,200 rpm serta tork 114.9 Nm pada 11,400 rpm. Dengan bantuan sistem Ram Air ketika motosikal bergerak pada kelajuan tinggi, kuasa maksimum boleh meningkat kepada 213 PS.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi sistem quickshifter dua hala bagi membolehkan penukaran gear lebih pantas tanpa perlu menarik klac. Kuasa kemudian disalurkan ke roda belakang melalui sistem pacuan rantai.
Pada bahagian casis dan pengendalian, Kawasaki mengekalkan fokus terhadap prestasi litar yang menjadi identiti ZX-10R. Jentera ini menggunakan fork hadapan Showa Balance Free Front Fork (BFF), manakala bahagian belakang menerima penyerap hentak monoshock Showa BFRC Lite. Turut disediakan adalah steering damper daripada Ohlins.
Sistem brek pula menggunakan komponen Brembo. Di hadapan terdapat sepasang cakera brek bersaiz 330 mm yang digandingkan dengan angkup radial Brembo M50 empat piston, manakala roda belakang menggunakan cakera tunggal 250 mm bersama angkup satu piston. Pakej ini turut disokong sistem ABS pintar yang dioptimumkan untuk kegunaan jalan raya dan litar.
Rim 17 inci dipasang pada kedua-dua bahagian hadapan dan belakang, masing-masing menggunakan tayar bersaiz 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang. Konfigurasi ini memberikan tahap cengkaman yang tinggi ketika menunggang pada kelajuan tinggi atau ketika mengambil selekoh secara agresif.
Pergi ke bahagian kokpit, ZX-10R dilengkapi paparan TFT-LCD berwarna penuh yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan secara jelas. Sistem sambungan telefon pintar turut disediakan melalui aplikasi Kawasaki Rideology, membolehkan penunggang mengakses maklumat motosikal, tetapan tertentu serta rekod tunggangan terus melalui telefon pintar.
Untuk elektronik, ZX-10R 2026 menawarkan pakej bantuan tunggangan yang lengkap. Empat mod tunggangan disediakan iaitu Sport, Road, Rain dan Rider yang boleh disesuaikan mengikut keadaan jalan serta gaya tunggangan. Turut disertakan ialah sistem kawalan cengkaman Kawasaki Traction Control (KTRC), Launch Control, Engine Brake Control, Inertial Measurement Unit (IMU) enam paksi serta Electronic Cruise Control sebagai kelengkapan standard.
Dari sudut aerodinamik, reka bentuk ZX-10R banyak dipengaruhi oleh jentera perlumbaan WorldSBK. Fairing hadapan yang tajam bersama sayap aerodinamik bersepadu membantu menghasilkan downforce yang lebih baik pada kelajuan tinggi, sekaligus meningkatkan kestabilan ketika pecutan dan membrek.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
















