PANDU UJI: Lexus IS 200t F Sport – kapasiti enjin diturun gred ke 2.0L, harga lebih tinggi

LexusIS_Ext_04

Apabila diberi peluang untuk menguji kehebatan Lexus IS 200t dari varian F Sport, pastinya ia tidak akan dilepaskan. Apatah lagi ingin sangat mengetahui kelebihannya selepas menguji model terdahulu, IS 250, yang memiliki kapasiti enjin lebih besar iaitu 2.5 liter. Namun Lexus berkata, walau pun enjinnya diturunkan grednya ke 2.0 liter, namun prestasinya tidak mengecewakan. Masih ada kelebihan yang dipertonjolkan.

Walau pun begitu, padanan enjin 2.0 liter ini telah bergabung tenaga dengan pengecas turbo baharu serta teknologi Dual VVT-iW (Variable Valve Timing-intelligent Wide), membantunya memberikan ledakan kuasa yang sukar terjangka. Mampu bertindak bila-bila masa dan pastinya mendorong kepuasan pada tahap maksimum. Penjana kuasa ini mampu meledakkan kuasa sehingga 241 hp pada 5,800 rpm dan tork 350 Nm antara 1,650 hingga 4,400 rpm. Malahan ia juga memiliki kelebihan enam kuasa kuda tambahan berbanding model NX dan RX 200t biar pun menggunakan enjin yang sama.

Selain itu, IS 200t ini turut digandingkan dengan transmisi automatik Sports Direct Shift lapan-kelajuan yang membantu menambahkan lagi kemantapan prestasinya. Padanan penjana kuasa ini memberikan IS 200t ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.0 saat sebelum berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 230 km/j.

Jika dibandingkan dengan jentera buatan Jerman, IS 200t bukanlah pesaing BMW 320i dan Mercedes-Benz C200 walau pun ada sedikit persamaan. Namun jika dibandingkan mengikut sudut kuasanya, di Malaysia, 200t ini mampu menyaingi BMW 330i M Sport (252 hp, 350 Nm, 5.8 saat) dan Mercedes-Benz C250 AMG Line (211 hp, 350 Nm, 6.6 saat). Selain C300 dengan kuasa 248 hp dan 370 Nm.

LexusIS_Ext_29

Tidak dinafikan, mengendalikan IS 200t F Sport ini memang cukup selesa. Sehebat tag harganya iaitu RM384,900, ia memang tidak lokek mempersembahkan prestasi yang mengagumkan, tidak kiralah sama ada pemanduan di kawasan bandar, kampung mahu pun dipacu di lebuh raya. Ia umpama memiliki karakteristik yang tersendiri di dalam pemanduan mengikut keadaan jalan.

Jika sekadar memandu di kawasan bandar, tanpa perlu menagih kerahan tenaganya, IS 200t F Sport bersikap lebih tenang dan tidak mendesak untuk tekanan pedal, meluncur mengikut keadaan. Meski pun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, namun IS pantas memberikan respons yang diingini. Apabila keadaan mula lancar, ia tidak teragak-agak memuntahkan kuasanya.

Ketika memacunya di lebuhraya, kekuasaan IS 200t F Sport lebih jelas terpancar. Kuasa turbonya pantas menyerlah walau pun tidak begitu memberikan tekanan pada pedal pendikit. Ia mampu meluncur lancar dan pantas dan efek turbonya memang tidak mengecewakan, membuatkan rasa terhadap enjin 2.0 liter ini seakan berkapasiti lebih besar.

Penukaran gearnya juga pantas dan lancar, namun sedikit kelemahan terasa apabila jentera baru mula bergerak dan ketika daya pendikit mula menerima rentak. Ia agak kurang bertenaga untuk memberikan respons yang lebih sempurna, Tapi ini bukanlah isu yang besar kerana kotak gearnya seakan pantas menyembunyikan kelemahan ini. Bila kenderaan mula dipacu sedikit laju, penukaran gearnya bertukar rentak, lebih lancar. Namun jika jentera dipandu agak perlahan dan waktu itu mahu memotong kenderaan di hadapan, kelemahan ini juga sedikit terasa.

LexusIS_Ext_11

Namun pengendalian yang cukup selesa turut mengetepikan soal kekurangan ini. Pengendaliannya memang mantap tetapi sedikit kelemahan dirasai pada suspensi adaptifnya, sedikit terasa olengan badan. Perkara yang sama dirasai sewaktu memandu uji model RX. Walau bagaimana pun kelemahan ini seakan mampu diatasi oleh roda sterengnya yang lebih jitu.

Ketika memandu dalam kelajuan yang tinggi, stereng bertukar karakter menjadi berat sekali gus mampu mengawal kenderaan supaya lebih stabil. Karakternya bertukar jika memandu dalam keadaan yang perlahan dan sederhana kelajuannya dengan roda stereng terasa lebih ringan.

Penulis sempat menuju ke Ijok dan seterusnya Kuala Selangor, melalui jalan lama dengan keadaan laluan banyak berselekoh dan permukaan yang kurang rata. Di sinilah karakter IS 200t F Sport ini kian teruji. Adakalanya pemanduan sedikit terencat apabila terpaksa mengekori barisan lori dan treler, hendak memotong agak membahaya pula kerana keadaan jalan yang banyak selekoh. Namun apabila ada ruang dan kesempatan untuk memotong, penulis lebih senang memilih mod Sport atau Sport + kerana ia lebih pantas dan padu. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan dua mod lagi iaitu ECO dan Normal bagi sistem Pemilihan Mod Pemanduan.

Seperti mana yang dikatakan pada perenggan atas, olengan badan sedikit dirasai sewaktu merentasi jalan banyak selekoh dan terasa kesan bumpy yang minimal jika melalui permukaan jalan yang beralun atau tidak rata. Tetapi jika dalam kelajuan yang sederhana, ia dapat mengurangkan rasa itu.

LexusIS_Ext_22

Daripada segi ciri aerodinamiknya, IS 200t F Sport ini telah mencapai level tertinggi Cd iaitu hanya 0.25 Cd sekali gus meletakkan model ini dalam kelas yang tersendiri. Ia bukan sahaja mengurangkan daya seretan angin tetapi juga mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien iaitu dianggarkan hanya 7.0-liter bagi setiap 100 km, kestabilan yang lebih mantap sewaktu jentera dipacu laju dan pengurangan bunyi bising dari luar daripada menyerap masuk ke dalam kabin.

Sesekali kaki harus bermain dengan pedal brek, sistem brek IS 200t F Sport memang antara yang paling selesa. Malah ia mampu menyempurnakan pemanduan biar pun terpaksa membrek dalam keadaan mengejut. Difahamkan sistem brek bagi model ini telah direka semula dan dipertingkatkan. Di mana cakera breknya telah ditingkatkan ke 17-inci berbanding 16-inci pada model terdahulu, sekali gus memberikan lebihan kuasa berhenti yang lebih optimum malah lebih responsif.

Bukan itu sahaja, kesemua varian IS ini turut dilengkapi dengan Front Performance Rod bagi menambahkan kestabilan dan pengendalian yang lebih mantap. Di samping itu, ia mampu memberikan kemantapan pada kawalan termasuk ketika melalui selekoh tajam. Malah penguasaan pemanduan yang lebih selesa cukup dirasai menambahkan keseronokan pengendaliannya.

Selain itu, pastinya sistem keselamatan VSC menjadi faktor utama ia bertindak lebih baik. Kawalan kestabilannya mampu bertindak secara responsif. Untung juga apabila Lexus menyertakan barisan elemen keselamatan standard yang boleh dikatakan lengkap bagi IS ini. Selain VSC, ABS dan EBD, IS ini turut dilengkapi dengan Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Paparan Titik Buta (elemen baharu) dan juga Kepekaan Lintasan Trafik Belakang, selain memiliki 10 beg udara (model terdahulu hanya 8 sahaja), kamera undur dan cagak ISOFIX.

Mengenai imejnya, sebenarnya tidak banyak perbezaan dengan model yang terdahulu. Namun ini tidak bermakna IS baharu ini ditampilkan dengan imej ala kadar walau pun sifatnya masih menyamai model terdahulu. Padanan lampu utama HID (Xenon) dengan lampu kabus hadapan LED yang dipertingkatkan serta gril radiator menyerlahkan sifatnya yang garang dan serba mewah.

Manakala garisan sisinya juga melahirkan profil yang lebih menyerlah. Rekaan rim aloinya yang dipertingkatkan dengan padanan tayar 225/40 R18 (hadapan) dan 225/38 R18 (belakang). Bahagian belakangnya pula lebih elegan tetapi tidak begitu sarat. Nampak sedikit ringkas tetapi masih bersesuaian dengan imej keseluruhannya.

Gaya elegan, sofistikated dan mewah menjalari bahagian kabinnya. Bahagian papan pemukanya tidak begitu sarat dengan butang kawalan dan lampu analog yang terletak pada bahagian tengah papan pemuka menjadi trademark Lexus untuk mengekalkan sentuhan klasik dan mewah. Tombol mod pemanduan terletak pada konsol tengah bersama Remote Touch Interface iaitu kawalan skrin pelbagai-fungsi yang telah dipertingkatkan.

Ia turut dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, roda sterengnya juga dilengkapi dengan butang kawalan, penghawa dingin dua-zon, pedal penukar gear di belakang roda stereng, brek parkir kaki, skrin paparan EMV bersaiz tujuh-inci, dua terminal USB dan AUX, sistem navigasi dan sambungan Bluetooth dengan kit bebas tangan.

LexusIS_Int_27

Paling mengujakan bagi penulis ialah sistem audionya yang memang syok! Varian IS 200t F Sport ini dilengkapi dengan sistem audio Mark Levinson Premium Surround dengan 15-speaker bersama fungsi AM/FM, DVD, MP3 dan WMA. Sistem audio ini memang terbaik malah perjalanan panjang yang diiringi hiburan memang tidak membosankan.

Dengan saiz ukuran 4,662 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,430 mm tinggi dan jarak roda 2,800 mm, ruang dalaman Lexus IS ini juga boleh dikatakan agak luas dan cukup selesa. Tempat duduk balutan kulit sepenuhnya dan tempat duduk pemandu turut memiliki 10 pelarasan secara elektronik dan memori. Malah ia juga memiliki ruang storan berkapasiti 480 liter dengan posisi tempat duduk belakang normal.

Bagi semua varian IS, ia ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Starlight Black GF, Sonic Titanium, Sonic Quartz (tidak ditawarkan bagi F Sport), Platinum Silver dan Red MC.CS, tetapi bagi F Sport, ada dua warna eksklusif iaitu White Nova GF dan Heat Blue CL. Setiap pembelian mana-mana model Lexus turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Secara konklusi, dengan kapasiti enjin yang diturunkan (dengan alasan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien) tetapi harganya pula memang cukup tinggi, IS 200t F Sport harus mempergunakan jenamanya untuk menyaingi model pesaing lain. Biarpun prestasinya jarang mengecewakan dengan pengendalian yang mampu meledakkan adrenalin, jika terlihat pada tag harganya, perlu diseimbangi keputusan antara bersandarkan jenamanya atau pun prestasinya yang menjadi taruhan. Pilihan di tangan anda!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required