Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah mengumumkan bakal mengambil bahagian dalam Program Strategi Penambahbaikan Automotif Komprehensif (CARS) di Filipina.
Ia merupakan inisiatif daripada kerajaan negara terbabit untuk menambah baik industri automotif, dan menurut Mitsubishi, bagi mengembangkan operasi pengeluaran di Filipina, ia akan memasukkan model Mirage hatchback dan Attrage sedan (atau lebih dikenali sebagai Mirage G4 di sana) dalam program terbabit menjelang tahun 2017.
Penambahan dua model terbabit dalam produksi pemasangan tempatan, Mitsubishi akan menyuntik dana sebanyak 4.3 bilion peso (RM372 juta) di kilang Santa Rosa bagi membina prasarana baharu. Malah pelaburan tersebut juga membolehkan kilang terbabit meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran mereka.
“Mitsubishi Motors telah membina produksi dan perniagaan jualan di Filipina lebih 50 tahun. Filipina merupakan salah satu daripada pasaran paling penting bagi kami. Malah kami berbesar hati untuk menyumbang sesuatu yang cukup bermakna buat industri automotif Filipina dengan membangunkan fasa baharu ini,” ujar Osamu Masuko, pengerusi dan CEO MMC.
Mitsubishi Motors Philippines Corporation (MMPC) telah memulakan operasi pemasangan di kilang pengeluaran baharu di Santa Rosa sejak Januari 2015. Terletak 45 km dari Manila, kilang ini mampu memproduksikan sehingga 50,000 unit setahun, berbanding kilang di Cainta yang menghasilkan pengeluaran sebanyak 30,000 unit setahun, sejak tahun 1964.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.