LPT

Selain menguatkuasakan semula sistem pemberian mata demerit jalan raya (Kejara) yang ditambah baik, Kementerian Pengangkutan juga bercadang untuk menyediakan insentif khas kepada pemandu yang tidak melanggar peraturan jalan raya.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, pengenalan insentif ini membolehkan pemandu yang tidak melanggar peraturan jalan raya mendapat kelebihan seperti memperoleh premium insurans yang lebih baik menerusi penggredan lesen memandu masing-masing, laporan Utusan Malaysia.

“Contohnya dalam setahun, pemandu tersebut tidak melanggar peraturan, lesennya akan dinaikkan kepada standard emas , jika tahun kedua juga sama, ia akan dinaikkan pula kepada standard platinum. Dengan lesen emas, syarikat insurans mungkin boleh memberikan premium yang lebih baik.

“Ini bermakna kerajaan bukan setakat mengenakan penalti kepada pesalah trafik, bahkan turut memberikan insentif kepada pemandu yang berhemah,” ujar Liow.

Menurut Liow lagi, dalam masa yang sama pihaknya sedang meneliti cadangan tersebut yang dijangka dilaksanakan tahun ini bersama penguatkuasaan semula Kejara.

Katanya, orang ramai juga dialu-alukan untuk memberi cadangan dalam mencari kaedah terbaik dalam mengurangkan kemalangan jalan raya.

Berkenaan dengan Kejara pula, Liow berkata antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan termasuklah mengekalkan pemotongan mata meskipun pemandu terbabit telah membayar saman.