Haval M4 Elite dilancarkan di Malaysia, harga RM73k; Great Wall Motors kini dikenali sebagai Haval

Haval M4 Elite launch 2

Haval M4 Elite, yang diberi aksesori tambahan dari model Haval M4 (sebelum ini dikenali sebagai Great Wall M4), telah pun dilancarkan pagi ini. Ia merupakan salah satu bagi varian Haval M4 selain Comfort dan Premium.

M4 Elite hanya ditawarkan bagi transmisi automatik AMT enam-kelajuan sahaja. Sebaliknya, varian Comfort dan Premium turut ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan. Semua varian dijanakan oleh enjin 1.5 liter aspirasi-natural VVT MPI empat-silinder yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 105 hp pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm.

M4 Elite ini tampil dengan beberapa perubahan gaya yang lebih ranggi termasuk menampilkan lampu utama projektor halogen baharu dengan lampu posisi LED serta lampu nyalaan siang (DRL) LED. Ia juga dipadankan dengan gril hadapan haksagon baharu dengan rekaan ‘sarang lebah’ yang lebih bergaya. Selain itu, ia turut dipadankan dengan rim aloi pelbagai-jejari 16-inci yang dibaluti tayar 205/60R16 dan rel bumbung.

Bagi bahagian kabinnya, ia turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit dengan kombinasi warna merah-hitam, perakam video yang terletak di bawah cermin pandang belakang, sistem navigasi bersama skrin sesentuh dengan pemain DVD dan sambungan Bluetooth, paparan pandangan-sekeliling (AVM), konsol tengah, pembaca SmartTag dan butang kawalan audio pada roda stereng. Tidak seperti varian Premium, Elite tidak disertakan dengan kamera undur (kerana sudah ada AVM).

Haval M4 Elite launch 20

Tidak mengenepikan aspek keselamatan, M4 Elite ini turut dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, ESP, kawalan cengkaman, Battery Alert System dan Bantuan Mula Mendaki.

Kesemua varian M4 ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu merah, oren, hitam, putih, biru dan kelabu. Namun jika para pelanggan mahukan warna yang berbeza dan mengikut citarasa, ia turut menawarkan pakej ‘wrapped’ dengan harga yang akan dimaklumkan kelak.

Bagi varian M4 Elite, harga (atas jalan tanpa insurans) yang ditawarkan ialah R72,339.41. Manakala bagi varian lain pula, ia berharga (tanpa insurans) RM52,688 (Comfort MT), RM59,519 (Premium MT), RM59,697.69 (Comfort AT) dan RM65,532.33 (Premium AT). Mulai Februari 2016, ia turut ditawarkan dengan waranti pengeluar selama tujuh tahun dengan perbatuan tanpa had.

Haval M4 Elite launch 40

Untuk promosi tiga hari ini (26-28 Februari 2016), pembeli M4 Elite juga akan menikmati rebat insurans atau baucer servis sehingga 25,000 km.

Menurut pengedar eksklusif bagi Great Wall Motors dan kenderaan Haval di Malaysia, GO Auto, mensasarkan jualan sebanyak 1,500 unit bagi M4 Elite di pasaran domestik bagi tahun ini. Kenderaan Haval merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang pemasangan milik GO Auto di Gurun, Kedah.

GO Auto turut mengumumkan, bagi meneruskan transformasi global GWM, kini GWM Malaysia dikenali sebagai Haval Malaysia. Setakat kini, Haval Malaysia mempunyai dua cawangan dan 19 pusat 3S.

Foto rasmi Haval M4 Elite

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • skatax on Mar 02, 2016 at 8:24 pm

    Dah banyak Haval ni di jalanraya terutamanya sekitar KL. Nampaknya trend Malaysia pun juga dah beralih ke arah SUV, memandangkan harga mampu milik (juga trend pembelian org Malaysia). Sewajarnya Proton pun keluarkan sekurang2nya satu model SUV, bukan 3 sedan baru dalam setahun.

    Like or Dislike: Thumb up 6 Thumb down 2
 

Add a comment

required

required