Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah mampu membantu mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof, pembinaan lebuh raya itu sudah tentu akan menambah baik jalan raya di Sarawak yang keadaannya beralun disebabkan dibina di atas laluan tanah berpaya dan tanah gambut, laporan Bernama.
Selain berpunca daripada sikap pemandu, keadaan jalan raya dan kenderaan turut menjadi penyumbang kepada kemalangan.
“Kita harap dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini, sebahagian besar daripada masalah jalan beralun dapat diselesaikan dan seterusnya membantu mengurangkan kemalangan maut,” katanya.
Projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer yang menelan belanja RM29 bilion itu akan menjadi laluan utama menghubungkan Sarawak dan Sabah.
Abd Ghafar turut berkata sekiranya tiada tindakan diambil untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2020, jumlah kematian yang diunjurkan lebih 6,000 orang dijangka meningkat kepada lebih 10,000 orang di seluruh negara.
Beliau berkata sasaran JKJR melalui pelan keselamatan jalan 2014-2020 adalah mengurangkan kadar kematian kepada 5,000 orang atau lebih rendah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.