Penala kenderaan berprestasi tinggi dari Jerman – Piecha Design telah mendedahkan pakej ubahsuai terbaharu untuk Mercedes-AMG C 63 W205 Estate yang merangkumi peningkatan pada rupa paras dan juga sistem mekanikal. Pakej ini juga turut ditawarkan untuk semua barisan C-Class dan boleh dibeli melalui laman web mereka.
Model yang diberi nama “Rottweiler” ini, menampilkan lip spoiler hadapan baharu, skirt sisi dan sayap tambahan di belakang, diperbuat daripada plastik gentian kaca yang diperkuat (GFRP). Pelbagai pilihan roda aloi Piecha LXM bersaiz dari 19 ke 20-inci boleh dipilih.
Sistem suspensi yang lebih sporty merendahkan lagi badan C 63, di mana ia diserasikan dengan sistem suspensi udara Airmatic Mercedes-Benz. C 63 juga diberikan spacer roda tambahan untuk memberikan stance yang lebih agresif.
Piecha Design juga turut menawarkan pakej peningkatan kuasa enjin yang membolehkan enjin tersebut mengekstrak kuasa sejumlah 603 hp dan tork maksima 840 Nm dari enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar C 63. Peningkatan kuasa yang boleh dikatakan agak menakjubkan kerana enjin tersebut pada asalnya hanya berkuasa 510 hp dan tork 700 Nm. Ini membolehkan Rottweiler memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.