Berdasarkan statistik produksi enjin yang diterbitkan oleh Marklines, portal informasi industri automotif yang bertapak di Jepun, Lotus nampaknya sedang membina sebuah enjin petrol baharu 1.2 liter SOHC tiga-silinder. Lebih menarik lagi, 514 unit enjin tersebut dikatakan telah dibina pada tahun 2015 dan dipasangkan pada Proton Iriz yang kami jangkakan ia bertujuan untuk kegunaan ujian dalaman.
Jadual di atas yang ditunjukkan kepada kami oleh pembaca, Aero, secara spesifik menunjukkan enjin 1.2 jenis “RHEV” – berkemungkinan dibina berdasarkan barisan enjin baharu Proton yang diumumkan sebelum ini – telah dibina di pangkalan Lotus yang terletak di Hethel, UK. Kami tidak dapat pastikan terma RHEV tersebut merujuk kepada apa, tetapi ia mungkin berdasarkan sistem pemanjangan jarak (REx).
Sistem pemanjangan jarak secara amnya boleh dikatakan berfungsi sebagai penjana on-board. Ia kebiasaannya digunakan oleh kereta elektrik sepenuhnya untuk membantu mengecas semula bateri kereta tersebut. Seperti yang terdapat pada BMW i3, sistem REx yang dibekalkan secara pilihan dan tidak memacu terus kepada roda.
Walau bagimanapun, ini mengingatkan kami pada kereta konsep Proton Emas yang dipamerkan pada Geneva Motor Show 2010. Kereta tersebut dilengkapi dengan enjin petrol 1.2 liter tiga-silinder Lotus Range Extender, dan menampilkan motor elektrik tunggal yang mampu menjana 100 hp pada tahap tertinggi dan 60 hp kuasa berterusan.
Ia juga turut dilengkapi dengan bateri 11.5 kWh polimer-litium yang berupaya melepaskan kuasa lebih dari 100 kW. Lotus menyatakan bateri tersebut boleh dicas melalui punca elektrik domestik AC 220 hingga 240 volt. Masa mengecas belum lagi diumumkan.
Unit pemanjang jarak pada kereta konsep Emas, iaitu enjin 1.2 liter tiga-silinder, dikatakan boleh dioptimakan melalui dua poin janaan kuasa, membekalkan kuasa elektrik 15 kW pada 1,500 rpm dan 53 kW pada 3,500 rpm. Kuasa tersebut dihantar kepada bateri melalui penjana elektrik bersepadu.
Pengalaman Proton dalam pembinaan enjin pemanjang jarak bukan perkara baharu. Pada tahun 2010, Paultan.org telah diberi peluang untuk memandu kereta konsep Proton Exora REEV. MPV elektrik tersebut dilengkapi dengan enjin pemanjang jarak rotari berkapasiti 400 cc, berupaya menjana 50 hp.
Bukan menjadi satu rahsia yang Proton sedang membangunkan beberapa model berdasarkan Iriz hatchback. Salah satu daripadanya telah dikhabarkan untuk diproduksi sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya pertama negara. Adakah Proton Iriz Hybrid bakal dibina dengan konsep EV dibantu enjin petrol penambah jarak untuk pasaran tempatan? Hanya masa yang akan menentukan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.