2017-mazda-cx-9-1_BM

Mazda menampilkan teknologi enjin SkyActiv-G empat-silinder dengan pengecas turbo pada varian CX-9 2.5T SkyActiv-G mereka. Walau bagaimanapun, ia merupakan enjin SkyActiv-G turbo tunggal dalam barisan enjin Mazda kerana pengeluar kereta dari Jepun tersebut tidak berhajat untuk mengembangkan lagi variannya buat masa sekarang.

Menurut laporan dari Drive, Mazda tidak bercadang untuk meneruskan pembangunan enjin dengan pengecas turbo berkapasiti kecil untuk model-model utamanya bagi tujuan mendapatkan lebih kecekapan bahan api dan mengurangkan kadar emisi.

Pengarah pemasaran Mazda Australia, Alastair Doak memberitahu Drive, “Jika anda mula menggunakan kuasa dari pengecas turbo, anda secara tidak langsung mula menggunakan lebih bahan api. Enjin turbo berkapasiti kecil bukan sebahagian dari lapangan kami.”

“Memang benar kami telah memberikan kuasa turbo pada enjin 2.5 liter untuk CX-9 terbaharu tetapi kami percaya kami mampu memberikan kereta kompak kami dengan pembeli yang efisien selepas itu tanpa binaan kompleks pengecas turbo,” tambah beliau. Ketua pereka Mazda, Masashi Nakayama, mengesahkan kepada Drive MX-5 tidak akan menerima bantuan pengecas turbo pada masa akan datang, seterusnya menyokong kenyataan dari Doak.

mazda_cx-9_2015_technical_see_through_with25l_ge_01-850x6381_BM

Tanpa mengikut trend pengeluar lain yang cenderung pada pengecas turbo, Mazda kini sedang membangunkan enjin SkyActiv-G generasi seterusnya dengan mensasarkan penjimatan bahan api lebih tinggi iaitu sekitar 25-30%. Angka tersebut bakal dicapai dengan nisbah mampatan yang disasarkan melebihi 14:1, melalui homogeneous charge compression ignition (HCCI) iaitu teknologi yang membolehkan campuran bahan api dan udara di dalam kebuk pembakaran terbakar sendiri melalui tekanan yang dihasilkan oleh omboh tanpa melibatkan percikan api dari palam pencucuh, dijangkakan akan memperoleh nisbah mampatan setinggi 18:1.

Teknologi penjanaan semula tenaga brek i-ELOOP juga akan ditingkat taraf, tetapi Mazda tidak menjelaskan bagaimana teknologi tersebut diangkat ke peringkat seterusnya, sama ada ke arah teknologi hibrid atau kenderaan berkuasa hidrogen. Teknologi hibrid Mazda sebelum ini telah ditampilkan pada model Mazda 3 Hybrid JDM, yang menggunakan teknologi hibrid disadur terus dari Toyota Prius.

Walaupun Mazda tidak akan membangunkan enjin turbo berkapasiti kecil dalam masa terdekat, pasukan perlumbaan prototaip Mazda kini sedang membina dua kereta lumba yang dikuasakan enjin perlumbaan MZ-2.0T baharu yang mampu menjana 570 hp. Enjin turbo 2.0 liter tersebut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus, manifold ekzos susunan 4-2-1, sistem pelinciran takungan kering dan juga pengecas turbo Garrett tunggal berdiameter 46 mm menghasilkan nisbah mampatan 13.5:1 di dalam kebuk pembakaran.

Mazda-prototype-racer-2-e1452502693237_BM

Enjin tersebut dilihat tidak membawa jenama SkyActiv Mazda seperti enjin perlumbaan diesel sebelum ini yang membawa nama teknologi SkyActiv-D. Enjin tersebut mungkin akan membekal data dan langkah pembangunan awal kepada Mazda jika mereka berminat untuk mengikuti trend pembangunan enjin dunia pada masa akan datang.

Untuk peminat enjin rotari Mazda, anda tidak perlu bimbang kerana Mazda dilihat sedang berusaha ke arah itu. Pengenalan kereta konsep RX-Vision yang dikatakan akan meneruskan legasi kereta sport siri RX berkuasa rotari Mazda di Tokyo Motor Show 2015 telah pun dilengkapi dengan enjin rotari Mazda generasi baharu membawa nama Mazda SkyActiv-R.