Setelah produksi Mazda RX-8 dihentikan pada 2011, tiada lagi apa-apa pengumuman dibuat oleh pengeluar kereta dari Jepun tersebut berkenaan model gantiannya. Sehinggalah pada tahun 2015, Mazda menampilkan kereta konsep Mazda RX-Vision, membayangkan generasi seterusnya siri kereta sport berenjin rotari Mazda bersama enjin rotari baharu diberi nama SkyActiv-R. Tetapi perinciannya berkenaan enjin tersebut masih lagi belum diumumkan sehingga kini.
Walau bagaimanapun, Autoevolution telah menemui fail permohonan paten dari Mazda di pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat, membuktikan usaha pembangunan enjin wankel-rotari generasi baharu berkenaan sedang giat dijalankan.
Penemuan tersebut menyaksikan enjin rotari baharu Mazda yang berkemungkinan akan membawa nama SkyActiv-R seperti dicanangkan sebelum ini, mempunyai kedudukan port ekzos dan port kemasukan terbalik berbanding enjin rotari Mazda sebelumnya. Kini port ekzos diletakkan di bahagian atas dan port kemasukan pula diletakkan di bahagian bawah berbanding konfigurasi terbalik pada enjin wankel-rotari sebelum ini.
Susunan semula kedudukan setiap port tersebut akan menambahbaik prestasi enjin rotari Mazda. Posisi port kemasukan yang diletakkan di bahagian bawah membolehkan lebih kemasukan udara kedalam kebuk pembakaran berikutan unit rotor berkenaan yang bergerak lebih jauh kebawah dan ‘mengaut’ lebih udara sebelum port tersebut ditutup. Mazda menggelar jumlah kemasukan udara secara semula jadi yang lebih banyak ini sebagai “efek induksi paksaan dinamik oleh efek inertia” membolehkan letusan pembakaran yang lebih besar berlaku seterusnya meningkatkan prestasi enjin.
Kedudukan port ekzos yang telah diubah keatas pula membolehkan manifold ekzos diletakkan dibahagian atas dan membolehkan laluan ekzos menjadi lebih pendek, mengurangkan halangan serta menghasilkan lebih kuasa kuda.
Kedudukan tersebut juga membolehkan pengecas turbo diletakkan dibahagian atas enjin, berbanding enjin 13B RX-7 FD-3S sebelum ini yang menyaksikan pengecas turbo terletak dibahagian bawah. Susunan ini membolehkan enjin diletakkan dengan kedudukan yang lebih rendah, membolehkan titik pusat graviti keseluruhan kereta tersebut juga menjadi lebih rendah, secara tidak langsung memberikan pengedalian yang lebih bagus. Tidak seperti sebelum ini dimana pengecas turbo yang diletakkan hampir dengan crossmember dan komponen lain dibahagian bawah menyebabkan enjin terpaksa diletakkan diposisi sedikit tinggi.
Rekaan ini juga mungkin mengesahkan kereta sport siri RX seterusnya akan kembali ‘liar’ seperti RX-7 dengan kembalinya pengecas turbo pada enjin rotari Mazda untuk SkyActiv-R ini berbanding enjin Renesis pada RX-8 yang lebih ‘jinak’ tanpa didesak apa-apa induksi.
Perubahan posisi liang port ini mungkin salah satu inovasi yang dilakukan oleh Mazda dalam pembangunan enjin SkyActiv-R baharu, kerana mereka juga dijangka akan menampilkan teknologi yang lain pada enjin tersebut menjadikannya lebih boleh diharap, serta mempunyai lebih kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi. Kereta sport siri RX tersebut dijangka akan membuat kemunculan pertamanya pada tahun 2018, sempena ulangtahun ke-40 RX-7.
GALERI: Mazda RX-Vision