Kerja-kerja penyelenggaraan dan memperbaiki Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bermula pada 15 Februari 2016, telah pun siap 50%. Litar ini dijangka akan beroperasi semula pada 8 Mei 2016.
“Kerja-kerja di litar ini adalah keutamaan kami, manakala setiap langkah yang betul perlu dipastikan agar ia menepati piawaian antarabangsa yang ketat,” ujar CEO SIC Datuk Razlan Razali.
Katanya lagi, Kejohanan Motosikal Dunia FIM 2016 pusingan Malaysia akan berlangsung di SIC pada 13 hingga 15 Mei dan merupakan pelumbaan pertama diadakan selepas pembukaan semula litar ini.
Litar sepanjang 5.543 km ini sedang diselenggara dan dibaiki oleh syarikat yang dipertanggungjawabkan iaitu Dromo, yang diketuai oleh Jarno Zafelli selaku ketua pereka litar firma dari Itali.
Menariknya, menerusi kenyataan media yang dihantar, selekoh terakhir baharu di SIC akan “menjadi impak terbesar pada litar” dan ia turut menawarkan pengalaman baharu kepada pemandu dan penunggang. Kawasan lain yang turut dipertingkatkan termasuklah sistem peparitan litar, dan jalan pintas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.